Bahasa

Mesyuarat pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda kepada 19 Oktober

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
August 11, 2013
Latest Update: August 12, 2013 01:35 am

Mesyuarat pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dipinda dari 5 Oktober kepada 19 Oktober 2013 berikutan permintaan dari peringkat cawangan dan bahagian yang menjangkakan mesyuarat keseluruhan di peringkat berkenaan akan dapat diselesaikan menjelang hujung bulan ini, menurut Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Agung Umno itu memaklumkan pindaan tersebut turut dibuat bagi membuat persiapan menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden China Xi Jinping yang bakal berkunjung ke Malaysia pada awal Oktober ini.

“Mesyuarat cawangan Umno dilanjutkan kepada 15 September 2013 dan penamaan calon pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dilanjutkan kepada 21 September 2013.

“Manakala mesyuarat pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 12 Oktober 2013 dan penamaan calon untuk ahli MT Umno ditunda kepada 28 September,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan badan pengurusan parti telah bersetuju kepada tarikh baru tersebut serta ahli MT telah dimaklumkan berhubung pindaan tarikh tersebut.

Umno akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi parti dengan cara berbeza melalui proses demokrasi yang lebih meluas dan menguji kematangan akar umbi parti.

146,500 pewakilan akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 sebelum ini yang mana pewakilan turut memilih kepimpinan di bahagian masing-masing.

Sistem kuota turut dihapuskan bagi membuka ruang kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum bagi mana-mana jawatan MT ialah pernah memegang jawatan MT atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.

Syarat untuk bertanding AJK bahagian ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun. – 11 Ogos 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi