MIC Pulau Pinang yakin GTP mampu tarik sokongan kaum India
GEORGE TOWN, 27 Ogos — Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diyakini berupaya mengubah pola pengundian masyarakat India di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Pengerusi MIC Pulau Pinang, L. Krishnan berkata berdasarkan pemerhatian beliau, sebahagian besar masyarakat India di negeri ini telah kembali menyokong Barisan Nasional (BN) setelah melihat parti itu mampu melaksanakan perubahan dan menepati janji.
“(Perubahan itu) Dari segi mengurangkan jenayah, dari segi mempertingkatkan pendapatan rakyat tanpa mengira kaum, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan ini semua mereka lihat sebagai sesuatu yang baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, kaum India di Pulau Pinang dapat merasai kesan program-program transformasi itu termasuk dapat bertemu dengan pemimpin kerajaan pusatuntuk meluahkan masalah mereka ketika program pemimpin turun padang termasuk oleh Perdana Menteri.
Krishnan berkata MIC negeri kini memberi fokus dalam memperkasakan golongan belia dan warga emas, mempertingkatkan ekonomi kaum itu, memperkasakan pendidikan sekolah Tamil dan institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan di sektor awam serta masalah perumahan mampu milik dan kos rendah.
Beliau berkata isu kuil di negeri ini juga diatasi dengan kerajaan persekutuan telah menyalurkan jutaan ringgit untuk membaik pulih dan menaik taraf kuil sedia ada.
“Contohnya untuk kuil yang terbesar di Pulau Pinang ‘Waterfall Temple’, apabila kuil itu mengalami pembaharuan semula, kerajaan persekutuan menyalurkan RM1.9 juta,” katanya.
Selain itu, katanya sekolah Tamil di negeri ini juga mendapat perhatian kerajaan pusat seperti Sekolah Tamil Batu Kawan memperoleh peruntukan RM6.3 juta, Sekolah Tamil Valdor (RM4 juta) dan Sekolah Tamil Subramaniam Bharati (RM2.5 juta).
Krishnan berkata peluang pekerjaan bagi masyarakat India di sektor awam juga semakin bertambah, bagaimanapun penglibatan mereka di sektor swasta di negeri ini masih kurang terutamanya di peringkat jawatan tertinggi.
Katanya daripada sebanyak 811,750 jumlah pengundi berdaftar di negeri ini setakat Mac lepas, kaum India adalah sebanyak 10.7 peratus atau 86,626 pengundi berbanding Melayu 34.75 peratus (282,062 pengundi), Cina 54.13 peratus (439,371 pengundi) dan lain-lain 0.45 peratus (518 pengundi).
Beliau berkata walaupun kaum India bukanlah kaum yang dominan di negeri ini tetapi kaum itu dilihat sebagai menjadi undi penentu bagi kemenangan BN di negeri ini dan menurutnya MIC akan sentiasa memperjuangkan nasib dan kepentingan kaum India. — Bernama




