Bahasa

Militan Sulu diburu seperti mencari ikan dalam air, kata setiausaha pertahanan Filipina

Oleh Boo Su-Lyn
March 27, 2013

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Tindakan keras terhadap militan Sulu di Sabah telah berlarutan menjadi konflik berintensiti rendah atau low intensity conflict ibarat memburu ikan di dalam air, kata Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire Gazmin semalam.

Laman sesawang akhbar Filipina Manila Standard Today (MST) memetik Gazmin sebagai berkata 12 batalion tentera dan polis, atau lebih 7,000 orang sedang mencari “pewaris” Sulu Agbimuddin Kiram dan saki-baki kumpulan bersenjatanya.

“Konflik berintensiti rendah seperti mencari ikan dalam air. Apabila anda memburu ikan, air merupakan musuh anda,” Gazmin (gambar) dilaporkan berkata hari ini.

Ketua Jabatan Pertahanan Negara Filipina itu menambah, Agbimuddin, adik kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Sulu Jamalul Kiran III, masih belum ditemui di Filipina.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain mengatakan Khamis lalu mengatakan Agbimuddin telah meninggalkan Sabah dan dipercayai berada di selatan Filipina untuk mencari perlindungan.

“Ingat, Raja Muda telah berada di sana dalam masa yang lama dan telah keluar masuk Malaysia,” kata Gazmin merujuk kepada Agbimuddin.

“Jadi dia tahu kawasan itu, beliau mempunyai ramai saudara, suatu masa dahulu dia adalah seorang pegawai untuk daerah jadi dia tahu kawasan itu. Terdapat 12 batalion yang mencarinya,” tambah beliau.

Jamalul mengarahkan pengikutnya di Sabah minggu lalu untuk melancarkan perang gerilla melawan pasukan keselamatan Malaysia.

Agbimuddin mengetuai 235 militan bersenjata ke Lahad Datu, Sabah pada 9 Febuari untuk mengemukakan tuntutan terhadap negeri utara Borneo itu.

Sehingga Jumaat lalu, pencerobohan telah menyebabkan kematian 63 orang militan bersenjata Sulu, menurut angka daripada pasukan keselamatan Malaysia, ia juga menyebabkan kematian lapan orang anggota polis dan dua orang tentera.

Malaysia melancarkan Ops Daulat pada 5 Mac untuk menghapuskan pemberontak bersenjata Filipina selepas rundingan gagal membuahkan hasil.

Manila telah berkata mereka tidak akan menggugurkan tuntutan kesultanan tersebut terhadap Sabah, walaupun pihak berkuasa Malaysia menegaskan tuntutan itu tidak lagi sah kerana negeri tersebut telah bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi