Bahasa

Mini RTC inisiatif besar kerajaan untuk sektor luar bandar: TPM

July 12, 2012

SELAMA, 12 Julai – Pusat Tranformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC) menjadi bukti satu lagi inisiatif besar oleh kerajaan untuk membawa transformasi terhadap sektor luar bandar dan pembangunan masyarakatnya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebahagian daripada 237 Medan Infodesa (MID) akan dinaik taraf menjadi Mini RTC yang akan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk luar bandar khususnya mendapatkan perkhidmatan, maklumat serta program sokongan seperti latihan dan kursus komputer.

“Ini satu lonjakan besar untuk pembangunan luar bandar. Satu daripada dasar transformasi negara adalah melalui program RTC ini, bukan hanya dalam sector ekonomi dan politik sahaja, tetapi kerajaan juga mahu masyarakat luar Bandar mendapat pembelaan seadil-adilnya,” kata Muhyiddin (gambar) kepada pemberita selepas melancarkan Mini RTC Sungai Siputeh di sini hari ini.

Beliau berkata dengan pendekatan itu, masyarakat luar bandar turut berpeluang menambah pendapatan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya Mini RTC yang berperanan sebagai pusat sehenti kepada usahawan dan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan pelbagai kursus sokongan serta perkhidmatan kerajaan merupakan satu anjakan besar kepada perubahan sektor luar Bandar.

Program MID yang diperkenalkan pada 2001 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merupakan satu pusat latihan yang  dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan seramai 667,500 penduduk luar bandar telah menggunakan kemudahan itu sejak ia ditubuhkan.

Selaras dengan program Transfromasi Luar Bandar yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2012 Oktober lalu,  pusat tersebut akan ditukar menjadi RTC yang akan mempunyai fungsi yang lebih luas ke arah pembangunan luar bandar.

Pada majlis pelancaran Mini RTC Sungai Siputeh itu, Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan majlis pecah tanah pembinaan jambatan Sungai Siputeh-Telok Mas sepanjang 44 meter merentangi Sungai Selama.

Beliau kemudiannya menyertai lebih 6,000 hadirin menikmati Jamuan Rakyat serta buah-buahan bermusim tempatan iaitu durian, manggis dan rambutan. – Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi