Bahasa

Modal insan elemen utama pembentukan negara maju menjelang wawasan 2020

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 18, 2012

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Pembentukan modal insan adalah elemen utama pembentukan negara maju selaras dengan sasaran Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, tempoh lapan tahun sebelum menjelang tahun 2020, kerajaan bakal berdepan cabaran getir bagi membentuk modal insan yang berkualiti kerana ia adalah satu-satunya peluang untuk membentuk negara maju berteraskan acuan sendiri.

“Cabaran amat besar, lapan tahun sebelum tahun 2020, antara perkara utama adalah untuk menjana modal insan yang berkualiti kerana hanya inilah yang akan memberi kita peluang.

“Berdasarkan kajian Pemandu, kita akan menjana 3.3 juta pekerjaan baru dalam tempoh 10 tahun akan datang dan negara memerlukan pekerja yang mahir dan berpengalaman untuk membangunkan sektor ekonomi utama di dalam negara,” katanya ketika berucap sewaktu majlis penyerahan bantuan khas di bawah pakej rangsangan khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di sini.

Tambah Menteri Pelajaran itu (gambar) lagi, tumpuan utama yang harus diberi perhatian adalah meningkatkan mutu pendidikan sedia ada ke tahap yang lebih baik bagi mencapai matlamat tersebut.

“Segala bentuk bantuan yang bersesuaian telah diberikan kepada sekolah berdasarkan kemampuan semasa kerajaan.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat menekankan aspek pembangunan modal insan dan semua golongan mendapat pembelaan yang sewajarnya, terutama mereka dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah, termasuk mereka yang kurang upaya (OKU),” katanya lagi di hadapan wakil guru besar dan guru-guru pelbagai jenis sekolah dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.

Jelas Muhyiddin, Peruntukan Bantuan Khas sebanyak RM1 bilion berkenaan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2012 bagi meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah di negara ini.

“Peruntukan yang besar kepada KPM akan memberi keyakinan kepada kita semua sebagai pemangkin utama pembangunan pendidikan di Malaysia,” tambahnya.

“Dengan peruntukan tersebut, pelajar akan dapat menikmati situasi pembelajaran yang kondusif dan selesa supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada proses pembelajaran,” tambahnya.

Berdasarkan peruntukan RM1 billion tersebut, sejumlah 4,734 sekolah dari seluruh negara akan menerima faedah dengan 1,744 buah sekolah merupakan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan (SK/SMK) akan menerima (RM500 juta), 817 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) (RM100 juta), 369 untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) (RM100 juta), 428 sekolah mubaligh (RM100 juta), dan 167 bagi sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) (RM100 juta).

Selain itu 849 sekolah akan menerima projek insentif luar bandar berupa pembinaan dan penambah baikan surau sedia ada dengan jumlah RM87.1 juta.

Tambah Muhyiddin, KPM sentiasa bertindak secara pragmatik dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi pelbagai kategori sekolah, walaupun KPM pada masa yang sama perlu bersikap realistik dalam mengambil kira citarasa dan pilihan masyarakat majoriti di samping melakukan perancangan projek pembangunan pendidikan berdasarkan kepada peruntukan yang terhad.

“Walau bagaimanapun, selain daripada peruntukan pembangunan, sekolah bantuan kerajaan juga menerima bantuan-bantuan lain daripada kerajaan sama seperti bantuan yang diberikan kepada sekolah kerajaan, contohnya penyediaan guru dan kakitangan sekolah, buku teks, geran per kapita (PCG) dan lain-lain lagi,” tambahnya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi