Bahasa

MP Saifuddin: Kos ikan patin RM13,000 kes terpencil

April 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 April — Ahli Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kes hidangan ikan patin di Temerloh yang dilaporkan mencecah RM13,000 untuk sekumpulan 50 orang hanya satu kes terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di kawasan tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya percaya sekiranya perkara itu (harga RM13,000) benar (berlaku), ia adalah kes terpencil. Saya mendapat maklumat perkara ini berkemungkinan berlaku sewaktu pilihan raya kecil di Kerdau baru-baru ini melibatkan kedai-kedai tertentu sahaja,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini sambil menjelaskan, “sebenarnya harga patin di Temerloh tidak mahal seperti yang didakwa.”

Umumnya kata beliau, terdapat dua jenis ikan patin iaitu patin sangkar yang harga runcitnya sekitar RM13 hingga RM15 sekilogram dan apabila dimasak gulai tempoyak, harga untuk seketul adalah RM7 hingga RM12.

“Patin liar, harga runcitnya mengikut spesis, misalnya patin muncung iaitu spesis termahal, adalah antara RM200 hingga RM250 dan harga masakan gulai tempoyak mengikut spesis, misalnya patin muncung iaitu spesis termahal, adalah antara RM60 ke RM80,” kata beliau.

Laporan media semalam menyebut, sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di Temerloh, Pahang terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.

Seorang daripada kumpulan itu, yang enggan namanya disiarkan berkata, dia membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.  “Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar,” katanya.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

Temerloh yang terkenal sebagai Bandar Ikan Patin kini mempunyai 53 restoran ikan patin tidak termasuk gerai-gerai kecil.

“Saya menasihatkan semua peniaga ikan patin di Temerloh meletakkan tanda harga yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pelanggan terutamanya yang datang dari luar Temerloh. Saya juga mengingatkan supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan patin.

“Jika ini berlaku, usaha kerajaan untuk mempromosikan masakan ikan patin akan terjejas dan bakal memberi kesan langsung kepada pengusaha patin yang lain juga,” kata Saifuddin lagi.

Saifuddin juga memberi jaminan kepada peminat-peminat patin Temerloh bahawa harga ikan patin ini adalah berpatutan dan “janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.”

“Jika berlaku kes-kes terpencil ini, boleh majukan aduan kepada saya sendiri saifuddin61@yahoo.com atau di akaun Facebook saya atau twitter saya di twitter.com/saifuddinabd,“ katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi