Bahasa

MRSM buka permohonan kemasukan Isnin ini

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan membuka pengambilan pelajar tingkatan empat sesi 2011 bermula Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 buah MRSM seluruh negara.

“Permohonan boleh dibuat secara talian dengan percuma,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ibrahim berkata pemohon perlu mendapatkan no PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang telah disahkan serta angka giliran PMR.

“Pemohon-pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains. Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains,” katanya.

Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).

Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Oktober ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Oktober.

Pemohon turut dinasihati agar membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi mengelak kesesakan talian.

Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web Mara di www.mara.gov.my. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.