Bahasa

MRT Corp lancar trak MRT

June 02, 2012

PETALING JAYA, 2 Jun – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini melancarkan Trak Maklumat MRT (MIT) untuk memberi maklumat terkini kepada orang ramai tentang projek MRT.

Ketua pegawai eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid berkata pelancaran MIT sejajar dengan komitmen syarikat itu untuk memberi penerangan dan mendidik orang ramai, terutama bakal pengguna perkhidmatan tren itu.

“MIT, yang mempunyai reka bentuk menyamai bahagian dalam gerabak kereta api, dilengkapi ‘Hawkeye’, iaitu skrin sesentuh canggih yang membolehkan pelawat berinteraksi dengan peta jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dalam pandangan 360 darjah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan MIT di sebuah pusat beli-belah di sini.

MIT juga mempunyai panel televisyen bersepadu serta tiga komputer riba untuk membolehkan pengunjungnya mendapat maklumat serta mengetahui lebih lanjut tentang aliran MRT Sungai Buloh-Kajang.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, kemudahan itu akan disediakan di beberapa kawasan kediaman, pusat beli-belah, universiti dan kolej di sepanjang jajaran Sungai Buloh-Kajang.

“Orang ramai diharapkan memberi maklum balas kepada petugas MRT di MIT, yang beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang, dari Selasa hingga Ahad,” katanya.

Tiada bayaran dikenakan dan kemudahan ini terbuka kepada semua golongan. – Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi