Bahasa

MTUC gesa Najib, Taib jangan bawa pindaan Akta Kerja ke Sarawak

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Sarawak sambil menegaskan agensi-agensi pekerjaan tidak boleh menjadi majikan sama sekali menggesa Putrajaya dan Kuching tidak membawa pindaan Akta Kerja 1955 yang kontroversi ke negeri Malaysia Timur itu.

Sabah dan Sarawak tidak menggunakan Akta Kerja, tetapi menerima pakai Ordinan Kerja masing-masing, yang lazimnya akan memasukkan perkara-perkara dilihat ada kaitan langsung dengan akta itu.

Gesaan itu terkandung dalam satu memorandum dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud. Salinan diedarkan kepada media hari ini.

MTUC telah mengadakan piket peringkat nasional, di 18 lokasi, berhubung pindaan Akta Kerja, Khamis lalu.

Badan induk kesatuan sekerja itu mengambil tindakan tersebut ekoran rasa tidak puas hati dengan pindaan yang membolehkan kewujudan sistem kontraktor tenaga kerja secara sah di negara ini.

MTUC mendakwa sistem kontraktor tenaga kerja akan membuatkan seseorang pekerja bekerja untuk kontraktor bukan majikan utama, menyebabkan majikan utama tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja.

Dalam memorandum itu, kepimpinan MTUC Sarawak berkata, Malaysia ada Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang membolehkan agensi-agensi pekerjaan mendapatkan tenaga kerja bagi mana-mana majikan.

“Tetapi pekerja yang disediakan menjadi pekerja bagi majikan-majikan yang dibekalkan tenaga kerja. Agensi-agensi yang membekalkan pekerja tidak boleh memainkan peranan sebagai majikan,” kata Pengerusi MTUC Sarawak Mohd Brahim Hamid dan Setiausahanya Andrew Lo dalam memorandum mereka.

Kedua-dua pemimpin ini menegaskan, pekerja-pekerja sesebuah organisasi akan berperanan secara kolektif ataupun diwakili menerusi kesatuan apabila merunding berkaitan kadar upah dan keadaan tempat kerja yang kondusif.

“Dan, ini akan menghasilkan perjanjian ataupun perjanjian bersama antara majikan dan pekerja ataupun dengan kesatuan masing-masing,” katanya.

Sebaliknya kata Mohd Brahim dan Lo, jika pindaan Akta Kerja diwartakan kelak, kebanyakan pekerja sektor perkilangan akan secara efektif kehilangan hak untuk menubuhkan atau peluang menjadi kesatuan sekerja di tempat kerja ataupun “hak untuk secara langsung dan secara berkesan berunding dengan majikan utama dan juga akan melemahkan kedudukan pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja.”

“Ini sebab utamanya mengapa kadar upah di Malaysia ketinggalan di belakang kadar pertumbuhan dan upah dikekalkan di paras rendah sehingga kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit dalam menyediakan subsidi bagi barangan keperluan dan perkhidmatan utama, pada kos yang besar ke atas wang pembayar cukai sedangkan majikan pula mengaut keuntungan besar,” kata mereka.

Sehubungan itu kata mereka, oleh kerana Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 perlu diluluskan oleh Dewan Negara, Mohd Brahim dan Lo menekankan, “kami menggesa kerajaan Malaysia agar bertindak demi kepentingan pekerja dan ekonomi, oleh itu dengan segera menarik balik peruntukan kontrakor bagi tenaga kerja dalam pindaan Akta Kerja 1955.”

Malah kepimpinan MTUC Sarawak juga mahu Malaysia dengan segera menamatkan dasar mengiktiraf agensi-agensi penyemburan keluar tenaga kerja dan bertindak ke atas amalan-amalan sesetengah majikan dan agensi-agensi penyemburan keluar yang cuba mengelakkan hubungan penggajian bagi memudaratkan para pekerja dan kesatuan sekerja.

Menurut Mohd Brahim dan Lo, oleh kerana Akta Kerja tidak terpakai di Sarawak, dijangkakan bahawa kerajaan akan membawa pindaan yang sama ke atas Ordinan Buruh di Sabah dan Sarawak.

“Kami menggesaa kerajaan agar meliberalisasi dan melonggarkan peraturan-peraturan yang ketat lagi rigid berkaitan pengiktirafan dan perwakilan kesatuan sekerja.

“Kami menggesa kerajaan pusat dan negeri tidak memasukkan peruntukan kontaktor bagi tenaga kerja di Ordinan Buruh Sarawak,” kata mereka lagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.