MTUC sambut baik gaji minimum, permulaan baik untuk pekerja
SUBANG JAYA, 1 Mei — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyambut baik pengumuman gaji minimum RM900 dan RM800 untuk golongan pekerja yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi dan menyifatkan ia permulaan yang baik untuk pekerja di negara ini.
Presiden MTUC, Khalid Atan berkata, pihaknya melihat pengenalan gaji minimum itu adalah permulaan yang baik, namun menegaskan, dalam konteks gaji minimum, ia masih lagi di peringkat permulaan.
“MTUC melihat pengenalan gaji minimum ini adalah petanda yang baik untuk golongan pekerja di negara ini, namun dalam konteks gaji minimum, ia bukan angka yang betul-betul baik.
“Kami telah berjuang hampir 10 tahun untuk gaji minimum ini, dan pengumuman malam tadi bukan bermakna angka itu mati di tangga RM900, ia akan disemak setiap dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Hari Buruh di hadapan Wisma MTUC di sini.
Jelas Khalid, semakan setiap dua tahun itu perlu dibuat memandangkan kenaikan kos harga barang dan sara hidup yang semakin meningkat.
“RM900 itu adalah jumlah yang selamat untuk semua pekerja. Kalau kita letak jumlah yang terlalu tinggi ia mungkin tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Malaysia adalah antara negara yang belum pernah menetapkan kadar gaji minimum berbanding negara-negara lain. Ia permulaan yang baik untuk semua,” tambahnya.
Bagaimanapun, MTUC jelasnya akan tetap berjuang bagi mendapatkan Elaun Sara Hidup (Cola) yang kini hanya diberikan kepada kakitangan kerajaan.
“Namun begitu, kerajaan perlu mengkaji semula berkenaan Cola sepertimana tuntutan Cola RM300 yang dibuat MTUC. Kami akan tetap berjuang untuk perkara lain satu persatu,” katanya lagi.
Khalid turut menjelaskan, Cola sudah diperkenalkan sejak zaman bekas perdana menteri Tun Abdul Razak, dan ia tidak lagi relevan dengan jumlah RM25.
“Cola hanya diberikan kepada kakitangan kerajaan. MTUC masih lagi berjuang untuk kakitangan swasta, supaya semua adil berdasarkan kenaikan kos sara hidup,” tambahnya.
Mengulas berkenaan piket yang dicadangkan MTUC sebelum ini berkenaan kontrak pekerja, Khalid menjelaskan, MTUC akan berbincang dengan lebih lanjut dan piket berkenaan akan ditangguhkan sehingga keputusan dibuat oleh Majlis Am.
Antara tuntutan lain MTUC adalah mengurangkan waktu kerja selama 40 jam seminggu, usia persaraan 60 tahun, pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, dan menghapuskan sistem kontrak pekerja.
Perdana menteri telah mengumumkan gaji minimum RM900 untuk kakitangan swasta di Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk pekerja di Sabah dan Sarawak malam tadi.
Pengumuman yang dibuat sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, hari ini.
SUBANG JAYA, 1 Mei — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyambut baik pengumuman gaji minimum RM900 dan RM800 untuk golongan pekerja yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi dan menyifatkan ia permulaan yang baik untuk pekerja di negara ini.


