MTUC tangguh piket, beri Najib tempoh sebulan
SUBANG JAYA, 10 April — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menangguhkan piket yang sepatutnya berlaku pada 13 April depan di perkarangan Pejabat Perdana Menteri dan memberikan tempoh sebulan kepada Perdana Menteri Datur Seri Najib Razak untuk melaksanakan tindakan susulan.
Kesatuan yang mempunyai 390 ahli, dan mewakili 800,000 tenaga pekerja itu berkata pihak Jawatankuasa Bertindak MTUC telah mengadakan mesyuarat dan bersetuju untuk menangguhkan piket tersebut, dan akan membincangkan semula hasil pertemuan dengan perdana menteri itu dalam mesyuaratnya pada 10 Mei depan.
“PM dah berjumpa kita, dan mendengar permasalahan kami dalam perjumpaan lebih sejam, malah, beliau telah memberi respon yang menggalakkan,” kata Presidennya, Khalid Atan.
“Sempena menghormati perjumpaan dengan perdana menteri, mesyuarat hari ini meminta ahli Jawatankuasa Bertindak MTUC menangguhkan piket 13 April ini bagi memberi ruang kepada Najib untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Jawatankuasa Bertindak ini akan membincangkan hasil perjumpaan Najib dengan MTUC pada mesyuarat 10 Mei depan dan melihat apa hasilnya.”
Jelas Khalid (gambar), tempoh masa yang diberikan itu bakal merubah keputusan kongres berkenaan sekiranya berlaku perubahan selepas pertemuan dengan Najib.
“Sekiranya dalam sebulan ini berlakunya perubahan, keputusan mungkin berubah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak organisasi berkenaan di pejabatnya di sini.
Menurut Khalid, pihaknya berharap pentadbiran Najib akan mengambil satu jalan inisiatif terhadap permasalahan yang dihadapi kongres sekerja itu yang mana dakwanya “cubaan menghapuskan kesatuan sekerja”.
Malah Khalid turut menuduh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam seakan-akan membutakan mata berhubung isu Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) yang menentang kewujudan kesatuan dalaman Maybank pada 2010 dan Kesatuan Sekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) menentang Kesatuan Sekerja Kakitangan Penerbangan Malaysia yang dibentuk tahun lalu.
Khalid turut mengulangi pendirian MTUC berkenaan pindaan Akta Kerja 1955 yang mana akan membenarkan peningkatan jumlah pekerja kontrak, dan melemahkan fungsi kesatuan sekerja.
Selain itu, Khalid turut berkata terdapatnya khabar angin Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga sedang mewujudkan kesatuan sekerja dalaman sedangkan sudah wujud kesatuan untuk mewakili suara pekerja-pekerja keretapi.
“Maybank, MAS dan KTMB adalah GLC. Sekiranya kesatuan dalaman ini dibenarkan di KTMB, ini adalah petunjuk jelas berlakunya ‘union -busting’ oleh menteri.
“Kita tak mahu jadi kumpulan yang berpecah dengan kewujudan kesatuan kecil-kecil,” tegas Khalid.
Sejak tahun lalu, MTUC telah mengadakan beberapa siri piket membantah pindaan Akta Kerja yang mana menurut mereka akan menjadikan pekerja sebagai “hamba” serta kerajaan sengaja melambat-lambatkan polisi gaji minimum sedangkan kerajaan sebelum ini sudah bersedia untuk melaksanakannya pada penghujung 2011.
Mereka turut memberi amaran kepada Najib bahawa seramai 5.7 juta pekerja di negara ini “mampu untuk membuat perubahan” ketika pilihan raya kecuali undang-undang buruh diubah.
“MTUC mengharapkan beliau (Najib) dapat ambil satu inisiatif atas apa yang kami ajukan dan dapat mengambil tindakan,” katanya lagi.
Jelas Khalid (gambar), tempoh masa yang diberikan itu bakal merubah keputusan kongres berkenaan sekiranya berlaku perubahan selepas pertemuan dengan Najib.



