Bahasa

Mufti Kelantan: Pandangan Harussani, Majlis Fatwa tak canggah

April 24, 2011

KOTA BARU, 24 April — Tiada percanggahan fatwa antara Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang membolehkan tarian poco-poco dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengharamkan tarian itu, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, umat Islam harus melihat kedua-dua keputusan itu dari skop yang lebih luas dan menyeluruh sebelum memberi pandangan masing-masing.

“Saya tidak nampak ia wujud percanggahan pendapat berhubung isu itu jika penilaian dibuat secara menyeluruh dan mendalam dari sudut kepentingan kepada pengamal-pengamal senaman itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau diminta mengulas keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu itu yang memutuskan masyarakat Islam di Malaysia boleh terus mengamalkan tarian poco-poco selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan garis panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu 2007.

Mohamad Shukri berkata, isu itu tidak mengelirukan umat Islam jika mereka benar-benar memahami tentang konsep dan tujuan pengamalannya.

“Mana-mana amalan boleh dilakukan umat Islam asalkan ia tidak bertentangan dengan agama Islam dan menyerupai agama lain, dan jika ia hanya melibatkan anggota fizikal untuk kesihatan,” katanya.

Beliau berkata penglibatan seseorang dalam apa juga dan menyerupai agama lain dan bertantangan dengan ajaran Islam, adalah haram.

“Tetapi dalam konteks tarian senaman poco-poco ini pada pandangan saya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Sebelum ini, timbul keraguan apabila tarian poco-poco yang banyak diamalkan masyarakat di negara ini diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu menghormati keputusan Perak mengharamkan poco-poco di negeri itu Januari lalu.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi