Bahasa

Mufti Wilayah: ESQ program murtad terancang, galak Islam liberal

Oleh G. Manimaran
July 10, 2010

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengeluarkan fatwa mengharamkan program motivasi ESQ berkata, kandungan modul syarikat yang berpusat di Indonesia itu sarat dengan metode dan fikiran liberal, yang bertentangan dengan Islam.

“Lebih bahaya lagi apabila fikiran tersebut diserap melalui platform latihan kepimpinan yang terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa agama.

“Oleh itu, ia perlu disekat sebelum merebak menjadi ‘barah’, yang bakal merosakkan akidah dan syariah dan sukar dikawal lagi,” kata beliau dalam kertas kerja kajiannya bertajuk “Gerakan Islam Liberal Indonesia dan Kaitannya dengan ESQ”.

Program ESQ, yang wujud sejak satu dekad lalu, diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bulan lalu kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme dan ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Bagaimanapun dua mufti — Tan Sri Harussani Zakaria dan Datuk Hassan Ahmad, masing-masing dari Perak dan Pulau Pinang, yang pernah menyertai program motivasi anjuran ESQ Leadership Center — memberitahu The Malaysian Insider bahawa modul syarikat itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan akidah, malah memberi kesan positif kepada peserta-peserta.

Setelah 10 tahun beroperasi, sejak 16 Mei 2000, sehingga kini jumlah alumni ESQ telah mencapai lebih 850,000 termasuk di Malaysia. Operasi di Malaysia bermula sejak 2006.

Kertas kerja Wan Zahidi ini dikeluarkan ketika muncul kontroversi berhubung fatwanya yang mengharamkan program motivasi ESQ. Fatwa itu dikeluarkan bulan lalu.

Dalam kertas kerjanya setebal 44 muka itu, beliau berkata, gerakan Islam liberal adalah usaha halus untuk mengeluarkan umat Islam daripada agama mereka tanpa disedari, dan ia dilakukan atas nama Islam.

Dengan kata lain jelas Wan Zahidi, ia adalah program pemurtadan yang terancang dan sistematik dilaksanakan melalui platform intelektual, ilmiah dan akademik.

“Gerakan ini didalangi oleh kuasa asing yang ingin meruntuhkan Islam khususnya Yahudi,” katanya lagi.

“Adalah diperhatikan bahawa di bawah panji Islam liberal ini terkumpul pelbagai anasir yang ingin merosakkan Islam termasuk Qadyani dan Syiah.

“Misalnya usaha menggugat keaslian Mushaf yang ada hari ini dan menganggapnya sebagai ‘perangkap Quraisy’ adalah daripada pemikiran Syiah yang menuduh para sahabat r.a. telah mengubah al-Quran.

“Dan, al-Quran yang sebenar dikenali dengan ‘Mushaf Fatimah’ ada pada Imam Mahdi ‘yang ghaib’.

“Mushaf ini akan lahir bersama kemunculan Mahdi yang dinantikan oleh umat Syiah,” kata Mufti Wilayah Persekutuan ini.

ESQ menurut Wan Zahidi, adalah satu kursus kepimpinan dan pengurusan yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian di bawah syarikat ESQ Leadership Center yang berpusat di Jakarta. Kini ia telah dikembangkan ke Malaysia melalui penubuhan beberapa pusat di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Dakwa beliau, gerakan ini yang pada peringkat awalnya tidak begitu ketara ancaman berkembang dengan begitu dahsyat sekali seperti yang digambarkan oleh seorang intelektual Indonesia, Dr Ugi Suharto dalam bukunya “Pemikiran Islam Liberal” yang mempersoalkan mengapa sampai begitu dahsyat sekali faham pluralisme agama berkembang di Indonesia.

“Jawapannya adalah ringkas: kerana Indonesia secara perlembagaan tidak memberikan hak istimewa kepada Islam untuk menjadi agama rasmi negara, yang akhirnya Islam secara khusus tidak dilindungi dari segi undang-undang,” katanya.

Katanya, melalui metode “kemerdekaan berfikir” dan sikap pluralis, al-Quran telah ditafsir secara bebas dengan menggunakan teori mereka yang jelas murtad daripada Islam.

“Cara ini akan mengubah ajaran Islam sepertimana yang berlaku kepada Kristian,” ujar beliau lagi.

Oleh itu kata beliau, ia mesti menjadi pengajaran kepada Malaysia supaya terus mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara dalam perlembagaannya.

“Apabila tidak ada perlindungan undang-undang ini, maka anasir-anasir yang merosakkan Islam dari dalam begitu mudah disebarkan dalam masyarakat tanpa boleh dihalang oleh pemerintah Indonesia sendiri,” katanya lagi.

Kata beliau, keadaan itu seharusnya memberi pengajaran kepada masyarakat Islam di Malaysia supaya menangani unsur-unsur yang merosakkan akidah di peringkat awal lagi agar ia tidak berkembang hingga menjadi ancaman kepada akidah umat dan sukar dikawal lagi.

 “Juga pihak berkuasa agama perlu memanfaatkan sepenuhnya undang-undang yang ada bagi membendung ancaman ini sebelum masanya terlewat.

“Di samping itu, dalam rangka melaksanakan tanggungjawab memelihara kemurnian akidah, pihak yang bertanggungjawab juga perlu peka terhadap taktik penyusupan yang menggunakan ‘platform’ bukan agama, khususnya yang datang dari luar negara,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi