MUAR, 4 Sept — Usaha supaya umat Islam negara ini bersatu padu yang menjadi polemik lebih sebulan yang lalu bukan merupakan cadangan bersifat politik tetapi ia adalah perkara yang amat dituntut oleh agama, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Umno ini yang menyambut baik saranan penyatuan umat Islam negara ini sebagaimana yang dicadangkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria Julai lalu juga mahukan cadangan itu disambut baik oleh semua pihak termasuk mereka yang berlainan fahaman poltik.
Harussani yang mengetengahkan idea kerajaan perpaduan membabitkan Umno-PAS sejak selepas pilihan raya umum 2008 juga mengatakan kesediaannnya untuk menjadi orang tengah.
Katanya, beliau hanya mahu menyatukan orang Melayu berlandaskan agama Islam.
Harussani menyarankan agar kedua-dua parti Melayu terbesar itu supaya menyelesaikan “pergaduhan” antara mereka demi masa depan orang Melayu dan Islam.
Pandangan seumpama itu telah berulang kali dibangkitkan sejak dua tahun lalu dan yang terbaru Julai lalu.
“Tetapi malangnya, mereka yang menyambut seruan perpaduan itu hanya satu dua badan sahaja, yang lain tak buat apa-apa.
“Seruan supaya umat Islam negara ini bersatu padu itu bukan merupakan sesuatu saranan politik,” kata Muhyiddin (gambar) dipetik Bernama.
“Sebaliknya perpaduan adalah amat penting bagi umat Islam, bukan untuk meneruskan perjuangan Ummah,” kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis khatam Al-Quran dan berbuka puasa di Masjid Jamek Pekan Pagoh di sini.
Muhyiddin melahirkan kebimbangannnya terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam disebabkan perbezaan pegangan politik masing-masing.
Katanya, perpecahan yang berlaku ini telah mengakibatkan usaha mempertahankan kesucian agama Islam serta usaha memajukan umat Islam negara ini terjejas.
“Kita perlu berhati-hati, kita tidak mahu asas pembinaan negara Islam yang kukuh yang kita bina selama ini hancur hanya disebabkan oleh politik,” katanya.
Beliau turut menyatakan kejadian di mana seorang orang bukan Islam dibenar menyampaikan ucapan di sebuah surau baru-baru ini sebagai sesuatu yang amat luar biasa dan tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara ini.
“Amat luar biasa ada orang Islam membenarkan orang bukan Islam bertazkirah di depan mimbar masjid dan anehnya imam (masjid berkenaan) tidak bertindak menyekat perbuatan itu,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan dan sensitiviti orang Melayu serta bukan Melayu.







