Bahasa

Muhyiddin: Pakatan Rakyat bukan gabungan mantap

May 02, 2013

Muhyiddin mempersoalkan sekiranya PAS ikhlas mahu menegakkan syiar Islam dan membentuk negara Islam, kenapa parti itu perlu tunduk dan menjadi kuda tunggangan DAP. - Gambar failMuhyiddin mempersoalkan sekiranya PAS ikhlas mahu menegakkan syiar Islam dan membentuk negara Islam, kenapa parti itu perlu tunduk dan menjadi kuda tunggangan DAP. - Gambar fail

PETALING JAYA, 2 Mei — Pengundi tidak harus memberi kepercayaan kepada parti pakatan rakyat untuk mentadbir negara kerana ia bukannya gabungan mantap selain dilanda pelbagai isu dalaman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menarik perhatian masalah terkini melanda pakatan PAS-DAP-PKR apabila terdapat pemimpin DAP melarang pengundi bukan Melayu mengundi calon PAS.

“Mereka hari ini tidak sepakat...mereka dalam keadaan bermasalah apabila pemimpin-pemimpin DAP berkata orang bukan Melayu jangan sokong PAS.

“PAS ialah rakan mereka dalam pakatan itu. Macam mana mereka boleh kata jangan undi rakan sendiri. Apa yang berlaku?”, katanya ketika bekempen di kawasan Flat Desa Mentari di sini, semalam.

Muhyiddin turut menyelar PAS kerana sanggup mengenepikan prinsip perjuangan parti semata-mata mahu mendapatkan sokongan DAP.

Beliau mempersoalkan sekiranya PAS ikhlas mahu menegakkan syiar Islam dan membentuk negara Islam, kenapa parti itu perlu tunduk dan menjadi kuda tunggangan DAP.

“Masalah mereka (PAS) dalam pakatan rakyat hanya lima peratus sahaja, iaitu perjuangan untuk membentuk negara Islam dan melaksanakan hukum hudud itu bagi mereka lima peratus sahaja. Jadi PAS adalah parti lima peratus,” katanya.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya menilai senario yang sedang berlaku dalam pakatan tiga parti itu dan membuat keputusan sewajarnya pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini.

Muhyiddin turut menolak dakwaan kononnya kepimpinan negara perlu diubah kerana BN ‘parti tua’ yang sudah lama berkhidmat.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, BN sebenarnya telah menjalani proses peremajaan parti melalui pelbagai pendekatan.

“BN tidak tua, perdana menteri kita masih handsome, baru 59 tahun, lebih muda daripada Lim Kit Siang, Karpal Singh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz Nik Mat,” katanya merujuk kepada pemimpin dalam pakatan rakyat.

Muhyiddin juga berkata tawaran ‘semua percuma’ yang dijaja pakatan itu adalah lebih bertujuan untuk menarik perhatian rakyat dan bukan janji yang perlu ditunaikan mereka.

Menurutnya lagi, pakatan itu tidak membuat perincian secara lebih jelas kepada rakyat tentang bagaimana memperoleh sumber kewangan pada masa akan datang.

Muhyiddin menegaskan kewangan negara perlu diuruskan dengan teliti supaya perjalanan ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 berbaki tujuh tahun tidak terbantut. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi