Bahasa

Muhyiddin: Pencapaian hebat negara di peringkat antarabangsa hasil dasar kerajaan BN

January 05, 2013

BIDOR, 5 Jan — Pencapaian Malaysia yang semakin hebat dan hampir lebih baik daripada negara maju di dunia dalam pelbagai sektor serta diiktiraf banyak badan antarabangsa adalah hasil dasar kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri (gambar) berkata rekod cemerlang negara tidak terjadi begitu sahaja kerana ia memerlukan perancangan, keberanian dan pandangan jauh pimpinan kerajaan BN serta sokongan padu rakyat.

“Ia tidak boleh terjadi begitu sahaja tanpa usaha untuk kita lakukan bagi meletakkan Malaysia setanding negara-negara maju yang lain...kita sudah ada ranking (yang baik dalam dunia), kita tidak duduk di persisir sebagai negara kecil, tidak dipandang.

“Untuk menjadi negara yang lebih berjaya perlu perancangan baik-baik. Malaysia semakin lama semakin hebat, terserlah, semakin berjaya kerana adanya dasar kerajaan BN,” katanya ketika berucap di Majlis Sepetang Bersama TPM di Sekolah Kebangsaan Bidor 2 di sini hari ini.

Beliau berkata dasar kerajaan BN diterjemahkan dengan mendengar rintihan dan cerita masyarakat di peringkat bawahan semasa lawatan turun padang pemimpin-pemimpin negara.

Pemimpin negara lakukan tinjauan dan duduk di kedai-kedai kopi untuk mendapatkan input bagi lakukan yang terbaik kepada rakyat pelbagai lapisan seperti pemandu teksi, veteran tentera, petani, nelayan, pelajar serta penjaja.

“Saya ingin bertanya mana negara dalam dunia buat macam (kerajaan) Malaysia melayan kehendak rakyat...mana negara di dunia yang melayan kehendak, bukan sekali, dua kali tetapi selama-lamanya. Kalau jawapannya Malaysia, soalannya siapa yang buat, kerajaan mana, jadi sokong kita (BN)” katanya.

Beliau berkata asas penting untuk menjadi negara maju adalah pembangunan modal insan yang berteraskan ilmu dan pendidikan di mana aspek itu disedari oleh pimpinan kerajaan sejak dulu.

Kerajaan telah melabur sejumlah besar peruntukan negara membina sekolah di seluruh pelusuk kawasan, menyediakan latihan pendidikan untuk guru yang hari ini mencecah 500,000 selain menyediakan kemudahan di sekolah serta system pendidikan yang sentiasa dinamik, katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sejak dulu hingga sekarang kerajaan BN menyediakan 26 peratus peruntukan daripada Belanjawan Negara untuk sektor pendidikan dan hari ini jutaan warga yang terdidik dengan kepandaian,

ilmu pengetahuan serta kemahiran membina negara seperti yang dapat dilihat pada masa sekarang.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mula disediakan sejak setahun lepas akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.

Beliau berkata pelan yang sudah di peringkat pemurnian itu kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu untuk dilaksanakan.

Pada September tahun lepas, Najib melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM45 juta daripada kerajaan Pusat bagi Bantuan Persekolahan untuk pelajar di Perak, geran bernilai RM4.2 juta daripada kerajaan negeri untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Kelab Guru di negeri ini serta RM50,000 kepada Majlis Belia Perak. — Bernama 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi