Bahasa

Muhyiddin: Sikap patriotisme perlu untuk pertahan negara

April 28, 2013

Muhyiddin berkata patriotisme juga perlu untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap akidah dan agama Islam termasuk budaya-budaya liar yang kini semakin serius. - Gambar failMuhyiddin berkata patriotisme juga perlu untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap akidah dan agama Islam termasuk budaya-budaya liar yang kini semakin serius. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 28 April — Semangat patriotisme tidak terbatas pada soal perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara sahaja tetapi ia perlu untuk mempertahankan pelbagai ancaman termasuk soal ekonomi, perpaduan serta akidah umat Islam, kata Tan Sri Muhyddin Yassin.

“Saya hendak luaskan (makna) patriotisme, ia bukan terbatas pada soal perjuangan untuk pertahankan kedaulatan negara sahaja.

“Kita hendak pertahankan dari segi ancaman-ancaman yang mungkin boleh berlaku kalau institusi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah ada diruntuhkan oleh pihak pembangkang,” katanya ketika berucap di hadapan 6,000 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada Perhimpunan Raksasa: Gema Patriotik di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PBTM Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengarah Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Zulkifli Mazlan.

Muhyiddin berkata kerajaan yang bertanggungjawab hanya akan menawarkan sesuatu yang mampu diberi dan tidak akan meranapkan negara hanya kerana mahukan undi untuk menjadi Perdana Menteri.

“Manifesto pembangkang mahu hapuskan tol, turunkan harga minyak tanpa ambil kira keupayaan kerajaan, kita buat kajian ia akan menambah hutang dan negara akan jadi bankrap, saya tidak bohong, dari mana mereka hendak dapat duit,” katanya.

Beliau berkata manifesto BN yang menggariskan 17 perkara utama aku janji mengandungi 156 komitmen tindakan khusus bagi memastikan kepentingan rakyat dan dipenuhi, sudah pasti akan ditunai dan dilaksanakan kerana BN merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah.

Muhyiddin berkata patriotisme juga perlu untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap akidah dan agama Islam termasuk budaya-budaya liar yang kini semakin serius.

Beliau turut mengulas mengenai calon PAS Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa yang mengundang seorang penceramah bukan Islam untuk membetulkan akidah orang Melayu baru-baru ini.

“Ini bukan cerita bohong, kalau hendak betulkan akidah orang Islam bukan orang ini, tetapi panggillah tok-tok guru atau ustaz dan belajar agama.

“Bagaimana kita sebagai pejuang-pejuang harus pertahankan akidah kita, jangan biarkan orang lain mengganggu gugat akidah umat Islam, jangan kita biarkan, tolak mereka dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.

Beliau berkata perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam juga sudah menyimpang jauh apabila sering bercanggah pendapat dengan rakan pakatannya seperti pendirian terhadap soal hukum Hudud.

Justeru, Muhyiddin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak tersilap memilih kerajaan pada pilihan raya umum 5 Mei ini kerana bahananya amat besar yang boleh menghancurkan masa depan negara.

Beliau berkata rakyat harus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang beramanah, bertanggungjawab dan berupaya memikul tugas untuk membawa Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

“Beliau adalah simbol kepada perjuangan bangsa Melayu dan Malaysia, gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan hari ini sudah mula menyerap dan menyusup ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

“Sebab itu pembangkang sudah gentar, rasa takut dan bimbang kerana gelombang kebangkitan rakyat sudah mula dapat dilihat,” katanya.

Beliau berkata segala kejayaan yang dicapai Malaysia pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana usaha yang dilaksanakan pimpinan negara dari dulu lagi yang bertindak atas dasar yang adil dan saksama tanpa mengira kaum.

“Kerajaan sana (pembangkang) hendak ubah, dia kata kali ini sahajalah, apa lagi yang hendak diubah, kalau negara sudah aman tenteram, nak ubah bermakna jadi huru-hara, kalau negara sudah bersatu-padu nak ubah bermakna perpecahan,” katanya.

Beliau berkata soal keselamatan negara juga amat penting untuk dipertahankan dan negara tidak akan membenarkan mana-mana pihak sama ada di dalam ataupun di luar negara untuk menceroboh walau seincipun tanah Malaysia.

Muhyiddin berkata setelah peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu berlaku, barulah rakyat Malaysia dapat menilai betapa pentingnya keamanan dan keselamatan negara.

“Sebab itu kita sokong segala usaha yang diambil pimpinan negara untuk kukuhkan ketahanan negara kita, kalau terpaksa berbelanja lebih sikit untuk aset negara, saya yang pertama berikan sokongan supaya bala tentera kita dilengkapi dengan alat ketenteraan yang moden.

“Ini supaya pihak-pihak yang hendak datang ceroboh negara kita kena fikir 10 kali dan kalau hendak turun ke negara kita, kita akan kejar mereka sampai ke lubang cacing,” katanya dengan diiringi sorakan dan tepukan gemuruh ribuan anggota PBTM. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi