Bahasa

Muhyiddin tempelak dakwaan pembangkang BN tumbang sebelum pilihan raya

PAGOH, 29 April — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menempelak pakatan pembangkang yang mendakwa Barisan Nasional (BN) telah tumbang sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.

Beliau berkata dakwaan tersebut tidak benar sama sekali memandangkan beliau telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam lawatannya ke negeri-negeri di seluruh negara semasa tempoh berkempen sejak Ahad lepas.

“Saya sudah ke Sarawak, Melaka, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perak.

“Di Melaka tiada masalah kecuali Kota Laksamana, di Negeri Sembilan Menteri Besar yakin BN boleh menang lebih besar daripada 2008, Wilayah Persekutuan akan menang sekurang-kurangnya tiga atau empat kerusi tambahan, di Kedah sambutan luar biasa sehingga ada yang peluk cium saya.

“Kalau betul caranya Kedah boleh jadi negeri BN semula,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Gersik di sini.

Muhyiddin, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, berkata walaupun mungkin sukar untuk memenangi semula Pulau Pinang namun beliau yakin BN akan mendapat pertambahan kerusi.

Katanya di Kelantan pula sudah jelas rakyat sudah tidak mahukan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat yang gagal menyelesaikan pelbagai isu dan memajukan negeri itu.

“Jadi kalau betul pembangkang dah menang, tunjukkan pada saya negeri mana yang mereka boleh menang besar,” tegasnya sambil disambut tepukan gemuruh rakyat yang hadir.

Menyentuh mengenai Johor, beliau mempersoalkan kemampuan pembangkang mengambil alih negeri itu yang merupakan kubu kuat BN.

Katanya percubaan penasihat DAP Lim Kit Siang yang mahu bertanding di Gelang Patah turut tidak disenangi rakyat Singapura yang bimbang pembangunan di Wilayah Iskandar akan terbantut.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin BN mampu memenangi pilihan raya umum kali ini sekali gus membentuk kerajaan semula dan menyambung segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis jamuan makan bersama penduduk Felda Sri Jaya di sini, Muhyiddin berkata negara memerlukan pemimpin berwawasan,

mempunyai idea dan berani untuk membawa Malaysia ke tahap negara maju berpendapatan tinggi bagi tempoh tujuh tahun akan datang.

“Sebab itu dalam soal menjaga kebajikan, kita tak boleh berikan kepada orang yang tidak berpengalaman,” katanya.

Beliau sebelum itu turut mengimamkan solat Isyak di Masjid Ubudiah Felda berkenaan.— Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments