Bahasa

Muhyiddin: Usaha transformasi Negara dapat diteruskan jika pilih kerajaan tepat

April 11, 2013

Muhyiddin (empat dari kiri, hadapan) berkata kemampuan kerajaan juga dapat dilihat menerusi pelbagai langkah yang dilaksana untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk aspek pendidikan dan kesihatan. - Gambar failMuhyiddin (empat dari kiri, hadapan) berkata kemampuan kerajaan juga dapat dilihat menerusi pelbagai langkah yang dilaksana untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk aspek pendidikan dan kesihatan. - Gambar failLEDANG, 11 April — Timbalan Perdana Menteri berkata usaha untuk memastikan tranformasi negara terus berjalan hanya akan dapat diteruskan jika rakyat memilih kerajaan yang tepat, berkemampuan dan berpengalaman melakukannnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu, rakyat perlu bijak membuat pilihan pada pilihan raya umum ke-13 ini kerana tempoh tujuh tahun akan datang merupakan saat penting untuk negara mencapai taraf negara maju.

“Telah berpuluh tahun kami mempunyai rekod yang cemerlang, mempunyai kemampuan dan kesungguhan untuk menepati apa yang dijanji.

“Ada yang kami janjikan sebelum ini tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja dan sehubungan itu kami memerlukan mandat lima tahun lagi untuk memastikan tanggunjawab itu dapat dilaksanakan dan sekaligus meletakkan Malaysia di ambang kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Klinik Bukit Serampang di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan isteri timbalan perdana menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata kemampuan kerajaan juga dapat dilihat menerusi pelbagai langkah yang dilaksana untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk aspek pendidikan dan kesihatan.

“Purata jangka hayat rakyat Malaysia kini semakin panjang membuktikan taraf kesihatan di negara ini semakin baik dan membuktikan perkhidmatan yang diberi memberikan kesan yang baik,” katanya   

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat tidak seharusnya tertipu dengan dakyah pembangkang dalam tempoh menghadapi pilihan raya ini kerana mereka hanya rakus hendak berkuasa sehingga menabur pelbagai janji dan fitnah kepada kerajaan.

Beliau berkata pembangkang hanya tahu hendak ke Putrajaya dan bertanding di Johor kerana sedar ia merupakan negeri terawal mencapai kemajuan berbanding negeri lain.

“Kita lihat selatan Johor kini mencapai pembangunan yang luar biasa dengan Iskandar Malaysia dan pembangunan industri minyak dan gas di Pengerang yang melibatkan pelaburan melebihi RM100 billion.

“Jadi kenapa kita nak biarkan orang yang tiada kena mengena untuk mengacau Johor. Mereka buat begitu sebab nak menumpang semangkuk sedangkan tidak menyumbang sebesar zarah pun dalam pembangunan negeri ini.

“Keretapi kini sudah berada di landasan yang betul untuk menuju 2020 sebagai negara maju dengan dipandu sendiri oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Razak), kenapa nak biar orang lain gelincirkannya dan biar kita ke gaung,” katanya. – Bernama 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi