Bahasa

Mukhriz: Senarai calon BN Kedah belum muktamad

March 30, 2013

JERLUN, 30 Mac — Calon Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum akan datang belum dimuktamad namun mereka yang boleh menang sahaja yang akan dipilih, kata Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak masih mahu melihat pandangan beberapa pihak lain sebelum memuktamad senarai calon walaupun keutamaan adalah senarai yang dikemukakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Dalam pertemuan dengan perdana menteri semalam, beliau meletakkan calon mesti boleh menang sebagai kriteria utama untuk dipilih," kata Mukhriz kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyaksikan penyerahan perjanjian kolaborasi antara Malaysia Automotive Institute dengan Institut Latihan Perindustrian Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim.

Beliau berkata, perbincangan dengan Najib turut menyentuh usaha menawan kawasan kuat pembangkang.

Katanya, calon yang bakal ditampilkan kali ini melalui proses tapisan ketat termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan dari segi kesihatan.

Terdapat keseimbangan antara calon lama dan baru yang pertama kali dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, tambahnya.

Mengenai komen Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi berpengaruh kerana kerap turun berjumpa rakyat, Mukhriz berkata, beliau tidak perlu risau dengan komen itu yang membawa maksud Azizan merasa tergugat dengan keadaan demikian. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi