Bahasa

Mungkin seorang lagi calon wanita PBB dalam PRU-13

August 29, 2012

PUTRAJAYA, 29 Ogos — Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membayangkan seorang lagi calon wanita dari parti itu akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof berkata dalam Pilihanraya Negeri Sarawak tahun lepas, PBB sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak telah mengetengahkan sepuluh muka yang kebanyakan dari pergerakan Pemuda.

“Saya fikir untuk pilihan raya Parlimen akan datang, mungkin terdapat seorang lagi (calon) wanita dari PBB.

“Dalam pilihan raya negeri yang lalu, muka baru adalah dari Sayap Pemuda yang berumur 45 dan ke bawah. Saya fikir untuk pilihan raya umum kali ini, ia adalah adil untuk kita memberi peluang kepada Sayap Wanita PBB untuk diberi lebih banyak kerusi.

“PBB Pemuda menyokong calon wanita untuk diberi peluang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Kita melihat gambaran yang lebih besar kerana ia bukan berdasarkan kepentingan diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran enam produk baru Dunham-Bush di sini hari ini.

Kini, PBB mempunyai tiga calon wanita dan mereka ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, Nancy Shukri (Batang Sadong) dan Norah Abdul Rahman (Tanjong Manis).

Fadillah berkata muka baru dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan menjejaskan PBB daripada mempertahankan kerusi yang disandang.

“Pada pilihan raya negeri lalu, mereka yang tidak dicalonkan masih bersama PBB dan BN untuk berkempen dan berkhidmat untuk rakyat. Inilah nilai-nilai yang disemai dalam PBB kerana berkhidmat untuk rakyat adalah paling penting,” katanya.

Mengenai masalah dalaman komponen parti BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Fadillah berkata ia tidak menjejaskan persiapan pilihan raya di negeri itu yang digelar sebagai ‘simpanan selamat’ BN.

“Kita dapat menanganinya (masalah dalaman). Kalau lihat isu-isu yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lalu, ia adalah berpunca daripada masalah kepimpinan dalaman. Ini tidak menjejaskan sokongan di peringkat akar umbi dan masyarakat secara keseluruan masih kekal. Mereka adalah bersama kita.

 “Kita dah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita berbeza dengan pembangkang. Kita sentiasa konsisten untuk memberi khidmat terbaik,” katanya. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi