Bahasa

Musa Hassan sertai panel keselamatan Pakatan, bimbang dengan keganasan politik

Musa bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013. - Gambar The Malaysian InsiderMusa bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013. - Gambar The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 29 April — Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan telah menyertai majlis penasihat keselamatan Pakatan Rakyat (PR), dan mengatakan hari ini beliau bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013.

Musa menegaskan dirinya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, memberitahu pemberita beliau akan melakukan perkara sama jika pemerintah Barisan Nasional (BN) meminta nasihatnya mengenai urusan keselamatan.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik… Saya datang hari ini kerana saya mengambil urusan keselamatan rakyat dengan serius,” kata Musa dalam sidang akhbar di sini.

Pengerusi majlis penasihat keselamatan PR, bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein memberitahu pemberita kenyataan Menteri Dalam Negeri sementara Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Mac mengenai insiden keganasan akan lebih buruk semasa kempen pilihan raya sama seperti menyokong keganasan politik.

“Sebagai orang yang telah menghabiskan masa indah dalam hidup untuk mempertahankan dan berkhidmat untuk rakyat Malaysia bagi memastikan keamanan dan keselamatan dalam negara, kami ingin menyatakan keganasan politik tiada tempat dalam proses demokrasi,” kata Md Hashim yang juga merupakan calon PKR untuk Johor Baru.

Md Hashim memberitahu The Malaysian Insider majlis penasihat keselamatan PR memainkan peranan untuk menyokong pasukan polis dan menafikan ianya ditubuhkan kerana kurangnya keyakinan terhadap polis.

“Saya fikir kami hanya wujudkan kesedaran awam mengenai undang-undang… Keselamatan adalah urusan semua. Jangan hanya biarkan kepada pasukan keselamatan,” katanya.

Dalam mesej yang hampir sama Musa memberitahu pemberita beliau akan menasihatkan majlis keselamatan tersebut tentang bagaimana untuk melibatkan polis dan pihak berkuasa dan pada masa sama meminta polis adil dalam siasatan mereka kepada kedua-dua pihak.

Beliau menggalakkan semua parti politik untuk bekerjasama dengan polis: “Sebab itu adalah baik bagi setiap parti yang mahu mengadakan ceramah memberitahu polis terlebih dahulu, kawasan mana anda nak lakukan dan polis akan mengerahkan pasukan mereka dengan lebih awal untuk menyemak kawasan dan memastikan kawasan tersebut selamat.

Beliau juga meminta penyokong parti politik agar tidak memprovokasi atau mudah untuk diprovokasi.

“Jika provokasi berlaku, jangan ambil undang-undang di tangan sendiri. Cara terbaik adalah dapatkan semua bukti orang yang provokasi kamu… itu akan menjadi bukti kepada polis kemudiannya yang akan membantu penyiasatan mereka,” katanya.

Aksi keganasan telah mencemarkan tempoh berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei.

Bom petrol dilemparkan ke kompaun rumah anak perempuan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas Khamis lalu menyebabkan keretanya terbakar.

Ketua Menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng juga dilaporkan membuat laporan polis Khamis lalu kerana menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) yang mengugut nyawa isteri dan anaknya dalam bahaya jika beliau dilantik semula menjadi ketua menteri.

Bom petrol dilemparkan ke bilik operasi BN di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah minggu lalu.

Majlis penasihat keselamatan PR ditubuhkan pada akhir Mac untuk menghalang insiden keganasan berlaku semasa tempoh berkempen dan memastikan perubahan kuasa berlaku secara aman dalam pilihan raya akan datang.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.