Bahasa

Musuh ‘tidak bertamadun’ akan menghancurkan negara, kata Najib

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 11, 2012

Datuk Seri Najib: “Negara ini telah dimerdekakan oleh Umno, dibangunkan oleh Umno, dan kerana Umno negara ini akan menjadi maju.” — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 11 Mei — Datuk Seri Najib Razak ketika perhimpunan “Gelombang Merah” di sini berkata Umno akan mempertahankan negara ini daripada dimusnahkan musuh yang tidak bertamadun, tidak demokratik dan tidak berkredibiliti.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 60,000 peserta perhimpunan di dalam dan ribuan lagi di luar Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena Sambutan Ulangtahun ke-66 parti Melayu terbabit.

Kita tidak redha melihat apa yang berlaku. Biar apa yang mereka nak lakukan, Umno akan terus menjaga maruah negara ini.” — Datuk Seri Najib

Perdana Menteri itu turut mengingatkan mereka agar “tidak membiarkan anak dan cucu cicit kita terbangsat dan merempat di tanah air sendiri”.

“Negara ini telah dimerdekakan oleh Umno, dibangunkan oleh Umno, dan kerana Umno negara ini akan menjadi maju.

“Kita tidak redha melihat apa yang berlaku. Biar apa yang mereka nak lakukan, Umno akan terus menjaga maruah negara ini,” katanya dan diikuti sorakan dan tiupan “vuvuzela” daripada ahli Umno yang hadir.

Sebelum itu, Najib berkata, tujuan utama pembangkang menyokong Bersih adalah untuk “melakukan kekerasan terhadap anggota polis”.

“Kalau tiada pergeseran tak keluarlah dalam CNN, Al Jazeera, BBC, inilah tujuan sebenarnya. Mereka nak tunjuk kita ini kerajaan dan pihak berkuasa yang zalim.

“Mereka tidak menghormati undang-undang negara,” katanya dan menegaskan atas dasar hormat kepada undang-undang, Umno memilih Stadium Nasional ini sebagai lokasi perhimpunan tersebut.

“Bagaimana perasaan anggota polis yang dipukul? Ada anggota polis yang dipukul menggunakan kayu besbol sehingga muntah darah.

“Inikah orang yang bertamadun? Inikah orang yang pertahankan imej mereka?” tegas Najib dan yakin peserta yang hadir di perhimpunan rasaksa Umno malam ini “boleh tawan Dataran Merdeka daripada perusuh”.

Datuk Seri Najib menyampaikan anugerah "Tokoh Melayu Terbilang" kepada Adibah Amin. — Foto oleh Choo Choy MayMalah, Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan, pembangkang bukan sahaja parti yang tidak mengamalkan demokrasi, malah menekan ahli yang tidak menyokong mereka.

“Mereka tuduh kita macam-macam. Kata kita tidak demokrasi, tetua mereka sendiri tidak dipilih melalui demokrasi, alih-alih jadi Ketua Pembangkang,” katanya merujuk kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib turut menegaskan, kepimpinan mereka juga tidak menerima pendapat ahli parti.

“Cakap sikit tak boleh, tegur sikit tak boleh. Ada ketua kata kalau buat demonstrasi jalanan tidak baik, tapi apa jadi,  jawatan mereka tidak disambung semula, parti namanya demokratik, tapi tidak demokrasi, kemudian salahkan Umno,” tegasnya merujuk kepada tindakan yang diambil terhadap Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim, yang tidak disambung tempoh sebagai Senator oleh DAP.

Najib juga berseloroh dengan peserta untuk bertemu Yang diPertuan Agong selepas majlis sambutan pada malam ini untuk membubarkan Parlimen.

“Rasa-rasanya esok nak menghadap Yang diPertuan Agong, rasanya boleh menang?” diikuti sorakan “boleh” oleh peserta yang hadir.

Majlis sambutan ulang tahun ke-66 Umno itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Angkatan Tertinggi Umno, turut disertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya.

Sambutan tersebut turut menyaksikan upacara penyerahan bendera Umno “Sang Saka Bangsa” oleh konvoi bermotor yang diketuai Datuk Seri Zahid Hamidi kepada perdana menteri.

Turut menjadi agenda pada malam itu adalah pemberian anugerah “Tokoh Melayu Terbilang” kepada Tan Sri Datuk Seri Arsyad Ayub, dan Halidah Habibah Amin, lebih dikenali sebagai Adibah Amin.

Peserta perhimpunan daripada seluruh pelusuk tanah air dilihat begitu bersemangat mengibarkan bendera Umno dan bersorak, malah mereka juga tidak mengendahkan arahan pengerusi majlis supaya tidak meniup “vuvuzela” ketika Najib sedang berucap.Sebahagian antara lebih 60,000 peserta perhimpunan di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Ribuan lagi berhimpun di luar stadium. — Foto oleh Choo Choy May

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi