Bahasa

Najib: Bajet 2012 sedia RM232.8b, defisit 4.7 peratus

October 07, 2011
Latest Update: October 08, 2011 04:59 am

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Bajet 2012 yang sedang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus.

Defisit tahun lalu adalah sebanyak 5.4 peratus.

Baket kali ini bertemakan Dasar Transformasi Negara dengan lima fokus utama.

Dalam pada itu, Bernama Online menyebut, defisit fiskal kerajaan persekutuan dianggarkan berkurangan ketara kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan, demikian menurut Kementerian Kewangan.

Hasil kerajaan diunjurkan meningkat 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion selaras dengan prospek ekonomi dalam negeri yang terus berkembang, katanya dalam Laporan Ekonomi 2011/2012 yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata dasar fiskal negara bagi 2012 akan kekal berhemat dan menyokong pertumbuhan ekonomi, sambil menambah jumlah perbelanjaan kerajaan dijangka stabil sebanyak RM230.8 bilion.

Menurutnya, harga komoditi yang lebih tinggi, peningkatan akses berterusan kepada pinjaman, keuntungan perniagaan yang teguh dan keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan dijangka memperkukuh penggunaan swasta dan mencergaskan aktiviti pelaburan pada keseluruhannya.

Perkembangan yang menggalakkan ini akan menyumbang kepada hasil cukai yang lebih tinggi iaitu RM135.6 bilion, katanya.

Komponen utama hasil cukai iaitu cukai langsung (RM102.1 bilion) dan cukai tidak langsung (RM33.5 bilion) dijangka terus mencatat peningkatan, mencerminkan pengembangan aktiviti ekonomi domestik yang lebih kukuh dalam semua sektor serta perdagangan sesama serantau yang menggalakkan.

Kementerian Kewangan berkata terimaan dari cukai pendapatan petroleum (RM26.2 bilion) dijangka kekal tinggi berikutan permintaan serantau yang kukuh ke atas minyak mentah dari kalangan negara Australia, India, Thailand, Filipina dan Korea.

Terimaan dari hasil bukan cukai, merangkumi pendapatan pelaburan, lesen, bayaran pendaftaran dan permit serta hasil dari wilayah persekutuan pula dijangka lebih rendah sedikit berjumlah RM51.3 bilion, katanya.

Kementerian Kewangan berkata kerajaan komited untuk mengukuhkan kedudukan fiskal seperti disandarkan kepada jangkaan defisit yang lebih rendah pada 2012.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan akan terus menggerakkan momentum pertumbuhan serta melaksanakan inisiatif transformasi ekonomi bagi memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Menurutnya, Belanjawan 2012 akan memperhebat usaha meningkatkan daya saing ekonomi negara melalui pelaksanaan inisiatif pembaharuan dan menggalakkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Bagi tujuan ini, sejumlah besar peruntukan disediakan untuk program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (RM7.4 bilion), Bidang Ekonomi Utama Negara (RM4 bilion) and Inisiatif Pembaharuan Strategik (RM121.5 bilion), yang merupakan langkah penting untuk mengerakkan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya lagi.

Kementerian Kewangan berkata Belanjawan 2012 juga akan melaksanakan program dan projek yang mampu bertindak secara berkesan bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup, menjamin kesejahteraan rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar serta mempercepat pelaburan swasta.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi