Najib dan isteri tiba dari luar negara
SEPANG, 25 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang ke tanah air hari ini selepas melakukan lawatan kerja ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 7.45 malam ini.
Lawatan Najib ke London adalah atas jemputan Putera Wales, Putera Charles bagi menghadiri majlis resepsi bersempena dengan penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) oleh Ratu Elizabeth II, pada 13 Mei lalu.
Perdana Menteri juga telah melancarkan 'Rakan Barisan Nasional (BN) UK' (FBNUK) di Dewan Negara di sini dan kemudian menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Felda Global Ventures Holdings Bhd dan dua rakan strategiknya.
Perjanjian pertama mengenai Usahasama Strategik dengan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte Ltd (LDCA) manakala yang kedua ialah MoU dengan Vitol S.A. bagi bekerjasama mengenai bekalan, dagangan antarabangsa, pemasaran, operasi logistik dan pengurusan risiko mengenai pelbagai komoditi, tidak termasuk minyak dan lelemak. — Bernama




