Najib gesa bina negara bersama-sama dengan semangat 1Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai betapa pentingnya membina negara ini bersama-sama dengan semangat 1Malaysia dan nilai-nilai baik bagi menangkis semua cubaan untuk memusnahkan negara.
“Adalah penting untuk kita membina negara ini, misalnya untuk membina sebuah rumah, ia perlu dibina setingkat demi setingkat, lakukan permulihan dan belajar daripada kesilapan, kita perlu memandang ke depan, berdamai... itulah konsep yang perlu diberi peringatan kepada rakyat Malaysia,” katanya di petik Bernama Online.
Berucap di hadapan penganut agama Buddha di Kuil Buddha Maha Vihara di Brickfields sempena sambutan Hari Wesak hari ini, perdana menteri itu menegaskan betapa pentingnya rakyat, untuk bukan sahaja mengamalkan sikap saling bertoleransi tetapi “berhijrah kepada tahap penerimaan sepenuhnya” dan menghormati perbezaan masing-masing.
“Apabila kita bercakap mengenai nilai-nilai baik, ia perlu diamalkan dan diterapkan pada peringkat berbeza,” katanya dan menambah, beliau percaya Malaysia akan mempunyai masa depan yang cerah kerana rakyatnya secara berterusan menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya lagi, “apa juga anutan agama seseorang itu, adalah penting untuk mencari kebaikan agama itu seperti sikap positif dan ajaran baik yang dapat membentuk nilai-nilai baik untuk negara.”
Beliau turut mengemukakan laporan kaji selidik yang dijalankan oleh Global Peace Index pada tahun lalu yang mendedahkan Malaysia berada di tangga ke-19 paling aman dan selamat daripada 153 negara di dunia, menunjukkan betapa negara ini tetap berjaya walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum.
“Anda dapat lihat betapa kayanya kita dengan pelbagai kumpulan etnik dan agama. Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua bagi keamanan dan kemakmuran ini,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K. Dhammaratana Thera.
Terdahulu, Liow, yang juga Timbalan Presiden MCA dalam ucapannya berkata, semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai sebuah keluarga besar dan mendukung semangat muhibah dan saling hormat-menghormati.
“Rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinsip Semangat 1Malaysia iaitu semangat muhibah, persefahaman dan menghormati sebagai asas untuk sebuah negara progresif dan bersatu,” katanya.
Tambah beliau, “toleransi, persefahaman, sabar dan penyayang merupakan keperluan asas untuk menjamin perpaduan dan keamanan di negara ini.”
Menurut Liow lagi, tema sambutan Hari Wesak ke-50; ‘Patriotisme dan Keharmonian Beragama untuk Malaysia Bersatu’ jelas menunjukkan hasrat semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama.




