
Oleh itu Najib juga mahu agensi-agensi Islam negara ini dan guru-guru agama menjelaskan isu ini kepada masyarakat Islam.
“Untuk mengatakan semua agama sama di depan Allah bertentangan dengan kepercayaan Islam,” kata Najib (gambar) ketika berucap pada pertemuan dihadiri kira-kira 800 guru agama di sini hari ini.
“Kami menghormati agama-agama lain, kita tidak harus menghina agama lain tetapi mereka tidak boleh mengatakan agama mereka serupa dengan Islam,” katanya lagi.
Najib menubuhkan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama tahun lalu bagi memupuk persefahaman melalui usaha-usaha terancang.
Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah sebagai satu mekanisme yang membawa pemimpin semua agama di bawah satu payung untuk berbincang dan mengutarakan cadangan bagi tujuan menambah baik hubungan di antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Hari ini Najib berkata, pemimpin-pemimpin agama mesti tampil untuk menjelaskan isu pluralisme agama kepada umat Islam.
“Menjadi tanggungjawab pendakwah, guru-guru agama, mufti dan imam untuk menjelaskan kebenaran,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Jangan salah faham kenyataan saya. Saya tidak menghina agama-agama lain tetapi ini berkaitan dengan soal akidah,” kata beliau lagi.
Najib mengakui bahawa pengaruh pluralisme agama masih terhad tetapi ia perlu dikawal.
“Kalau kita tidak melakukan sesuatu, ia akan disebarkan kepada banyak pihak tetapi ia hanya terhad kepada kumpulan tertentu,” kata Najib ketika ditanya mengenai keseriusan ancaman fahaman pluralisme agama kepada umat Islam.
Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini didakwa menyamakan Islam dengan agama-agama lain demi kepentingan politik dan diserang dengan ‘kempen’ fahaman pluralisme agama.
Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.
“Fahaman pluralisme agama ialah satu kronologi yang dianggap sebagai kepelbagaian dan kemajmukan dengan membawa maksud semua agama adalah sama dan benar.
“Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam. Islam adalah agama yang Ad-Din dan sempurna dan fahaman ini mampu memesongkan akidah umat Islam kerana membawa kesamarataan kepada semua agama,” katanya.
Beberapa tokoh Islam berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
Malah, Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan menegaskan, fahaman pluralisme tidak boleh disamakan dengan konsep 1 Malaysia kerana kedua-duanya tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“(Gagasan) 1 Malaysia fokus kepada perpaduan jadi tidak timbul apa-apa percanggahan dengan fahaman pluralisme. Gagasan 1 Malaysia tidak sama dengan fahaman pluralisme, 1 Malaysia adalah soal perpaduan jadi ia tidak sama,” katanya sebelum ini kepada The Malaysian Insider.
Beliau juga menegaskan Islam menolak fahaman pluralisme kerana Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain yang ada.
Bagaimanapun, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyifatkan tuduhan melampau melabel tokoh-tokoh politik tempatan sebagai penganut fahaman pluralisme sebagai tindakan “budaya ala-Taliban” yang amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia.
“Saya amat kecewa dengan laporan media online yang memetik kenyataan beberapa individu yang membentangkan kertas kerja dalam satu seminar baru-baru ini berkaitan isu pluralisme.
“Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa mengecap beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia.
“Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” kata beliau.






