Bahasa

Najib hadir sambutan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang

Persembahan kebudayaan di Dewan Persahabatan Cina Pulau Pinang. — Gambar K.E. OoiPersembahan kebudayaan di Dewan Persahabatan Cina Pulau Pinang. — Gambar K.E. OoiGEORGE TOWN, 11 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di dewan berkenaan di sini.

Ketibaan Najib di dewan tempat majlis berlangsung disambut dengan tarian naga sebelum beliau bersalaman dengan masyarakat Cina yang turut menyambut kedatangannya.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Menteri Lim Guan Eng, Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang Datuk Lam Wu Chong dan pemimpin-pemimpin politik.

Terdahulu, Najib turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Tionghua selain menerima cenderahati berupa replika lapan ekor kuda daripada Dewan Perhimpunan Cina.

Selepas majlis itu, Najib akan menyertai kira-kira 80,000 orang menghadiri Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang di padang kolej Han Chiang di sini.

Pada majlis itu, pelbagai acara diatur termasuk persembahan daripada penyanyi terkenal tanah air Shila Amzah dan persembahan daripada penyanyi popular Korea Psy. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.