Bahasa

Najib harap rakyat laksana tanggungjawab sebagai pengundi dengan baik

May 05, 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan jarinya yang dicalit dakwat kekal selepas selesai mengundi hari ini. — Gambar ReutersPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan jarinya yang dicalit dakwat kekal selepas selesai mengundi hari ini. — Gambar ReutersPEKAN, 5 Mei — Datuk Seri Najib Razak berharap proses pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang bermula 8 pagi di seluruh negara berjalan lancar sambil meminta rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan baik.

Perdana Menteri berkata beliau melihat proses pengundian di kawasannya berjalan dengan lancar, tanpa sebarang kesulitan untuk mengundi.

“Saya berharap keadaan ini dapat dirasai dan dilalui di tempat-tempat lain,” katanya sambil menyeru orang ramai agar keluar mengundi lebih awal, katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di pusat mengundi pada pukul 9.10 pagi dan selesai mengundi pada 9.15 pagi.

Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976 menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR Mohd Fariz Abdul Talib.

Najib berkata beliau akan berada di Pekan sehingga pagi ini, dan akan berlepas ke Selangor tengah hari untuk melihat proses perkembangan pengundian di negeri itu.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan proses penambahbaikan sistem pilihan raya, Najib berkata: “Tidak ada sebab mengapa (saya tidak puas hati kerana) kita telah melalui proses yang begitu panjang dan perbincangan yang begitu menyeluruh dengan banyak pihak termasuk dengan pakatan rakyat.

Sehubungan itu, Najib berkata cadangan mereka untuk mewujudkan dakwat kekal juga diambil kira dalam proses pilihan raya agar PRU13 ini tidak dipersoalkan kredibilitinya oleh mana-mana pihak.

“Tambahan pula, kita ada pemerhati tempatan dan luar negara, menunjukkanketelusan dan tidak mungkin proses pilihan raya dipertikaikan oleh sesiapa melainkan ada pihak yang cuba menjadikan perkara (ini) sebagai isu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada cubaan sesetengah pihak untuk mencetuskan huru hara, Najib berkata tindakan ini merupakan satu perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik Malaysia.

“Kita rakyat Malaysia walaupun berbeza pendapat politik dan sebagainya tetapi kita mesti menjaga imej dan maruah negara. Biar proses PRU berjalan dengan baik dan (semua pihak) terima apa sahaja keputusan yang dibuat rakyat,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi