Bahasa

Najib: Kebebasan media dan keganasan terhadap media isu berbeza

Oleh Ida Lim
May 06, 2012

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Datuk Seri Najib Razak menegaskan pentadbirannya menghormati kebebasan media, namun menjelaskan insiden keganasan Sabru lalu terhadap media adalah isu berbeza.

Kumpulan media baru-baru ini berkata tahap kebebasan media di Malaysia amat membimbangkan, terutamanya sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 yang mana pihak polis dikatakan memukul wartawan dan memusnahkan peralatan mereka.

"Serangan polis terhadap wartawan dan ... kebebasan media adalah dua isu berbeza," kata Najib (gambar) menurut laporan Sin Chew Daily hari ini, menolak dakwaan kerajaan tidak menghormati hak kebebasan media.

Beliau menjelaskan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 untuk menyokong dakwaannya itu bahawa kerajaan menyokong kebebasan media.

Bulan lalu, pindaan terhadap akta berkenaan memperlihatkan pindaan terhadap keperluan syarikat percetakan memperbaharui lesen percetakan mereka setiap tahun dan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri.

"Kita perlu ingat, kerajaan perlu mentadbir negara dengan semangat perundangan, tiada pihak boleh melampaui undang-undang," kata Najib.

Beliau turut dilaporkan berkata kedua-dua pihak polis dan mereka yang menggunakan kekasaran terhadap perusuh menyerang polis akan di bawa ke muka pengadilan.

Najib bagaimanapun mempertahankan tindakan polis, berkata "kesalahan itu tidak patut di letakkan di bahu seluruh anggota penguatkuasa tersebut" kerana mereka "menjalankan tugas dengan amanah" ketika perhimpunan tersebut.

Kerajaan dijangka akan mengumumkan badan bebas untuk menyiasat dakwaan keganasan terhadap Bersih minggu hadapan.

Perdana menteri itu juga berkata panel berkenaan "akan mengadili seadil-adilnya dan melaporkan sebarang cadangan kepada kerajaan selepas siasatan selesai."

Perhimpunan aman Bersih bertukar ganas apabila perusuh mulai memasuki kawasan Dataran Merdeka dan meruntuhkan tembok penghadang di kawasan dataran tersebut.

Perusuh kemudiannya melawan anggota polis apabila polis mula melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Mereka membaling kepingan konkrit, botol air ke arah polis.

Ketika Hari Kebebasan Media Sedunia, akhbar Cina menggunakan dakwat hitam putih sebagai sokongan terhadap sambutan tersebut dan tanda protes terhadap keganasan media.

Anggota media turut memakai pakaian bewarna hitam dengan riben kuning sebagai tanda protes.

 

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi