Bahasa

Najib kepada penggundi Kedah: Jangan ulangi kesilapan

April 30, 2013

Najib berkata umat Islam di Malaysia juga tidak boleh melihat Islam daripada sudut yang sempit kerana Islam itu luas dan syumul. - Gambar The Malaysian InsiderNajib berkata umat Islam di Malaysia juga tidak boleh melihat Islam daripada sudut yang sempit kerana Islam itu luas dan syumul. - Gambar The Malaysian Insider

BALING, 30 April — Rakyat di kawasan yang dikuasai pembangkang diminta tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) apabila memilih calon parti pembangkang sebagai wakil rakyat mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata selepas lima tahun, mereka dapat melihat sendiri kegagalan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan negeri pimpinan pembangkang termasuk di Kedah, tetapi mereka masih ada peluang untuk memperbetulkan keadaan pada PRU13, Ahad ini.

“Kalau dah silap boleh betulkan pada 5 Mei ini (PRU13). Dulu tersasar, terpesong takpe, buat silap sekali takpe, jangan dua kali buat silap,” katanya pada majlis Perjumpaan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Padang Keda, Pekan Baru Keda, Kupang dekat sini hari ini.

Najib berkata umat Islam di Malaysia juga tidak boleh melihat Islam daripada sudut yang sempit kerana Islam itu luas dan syumul.

“Islam itu akhlak...Islam itu kebajikan, Islam itu ilmu. Islam bukan terletak pada bulan (lambang PAS) yang besar tu. Itu senang sangat. Ada bangunan cat hijau, tak cukup bangunan pagar pun hijau. Itu hanya lambang.

“Kita mesti ada agenda untuk bangunkan Islam. Islam suruh buat baik. Kalau nak tegur dengan baik. Jangan nak maki hamun, aibkan orang dan pecah-belah masyarakat. Itu bukan Islam, itu jahat namanya,” katanya.

Najib berkata kerajaan yang bertanggungjawab akan membina sebuah peradaban dan kerana itu BN melaksanakan agenda transformasi nasional bagi mencapai hasrat itu.

“Berbeza dengan Pakatan Rakyat, banyak tabur janji tapi janji kosong. Dia bohong. Ini tak boleh pakai. Kalau nak buat perubahan kena ada wawasan, dan kena ada kemampuan untuk menterjemahkan agenda menjadi realiti dan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata ketika ini harga getah di pasaran jatuh dan sebagai kerajaan yang mempunyai kemampuan kewangan telah meminta Risda memberi bantuan RM500 kepada semua pekebun kecil untuk meringankan beban mereka.

“Sebab itu, hari ini rakyat lebih yakin kepada kita (BN),” katanya. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi