Bahasa

Najib lancar Pusat Outreach IM4U di Jepun

Datuk Seri Najib Razak (gambar) malam ini secara rasminya melancarkan Pusat Outreach iM4U, Jepun dalam satu upacara simbolik di Hotel New Otani di sini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi iM4U menandatangani plak rasmi pelancaran serta menyampaikan cek bernilai Yen320,000 (kira-kira RM10,000) kepada pusat itu.

Mohd Khairul Qayyum Mohd Katman, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Jepun (MSAJ) menerima cek itu bagi pihak pusat itu.

Menerajui pusat itu ialah MSAJ yang mempunyai lebih 1,200 anggota daripada lima divisyen di seluruh Jepun.

Menurut anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, iM4U berbesar hati dapat mendekati dan berinteraksi dengan belia Malaysia di Jepun.

Antara lain, pasukan Pusat Outreach iM4U MSAJ, Jepun telah memulakan projek pek hadiah iM4U dengan para sukarelawan menyediakan pek untuk diagihkan kepada audien pada konsert Krismas untuk kanak-kanak kurang upaya dan penggemar muzik anjuran Shinjuku Foundation for the Creation of Future.

Najib dalam ucapan ringkasnya di majlis itu berkata dalam membangunkan negara, ia memerlukan generasi muda yang memiliki nilai kemurnian tinggi serta cara berfikir yang boleh beri sumbangan besar kepada negara.

"Dan cara kita bangunkan sistem nilai murni adalah melalui program seperti ini (program sukarelawan). Bila jadi ahli sukarelawan, kita tunjuk rasa perhatian kepada mereka (masyarakat) dan sanggup memberi sesuatu kepada komuniti," katanya.

Najib berkata masyarakat Jepun akan tentunya menghargai segala program sukarelawan yang dibuat ini dan aktiviti sukarelawan menggambarkan satu sikap yang amat baik.

"Sikap seperti ini jadikan kita manusia yang lebih prihatin," katanya. - Bernama, 12 Disember, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.