Najib lancar 1M4U, dana sukarelawan DRe1M dan stesen radio baru
TERKINI @ 07:01:13 PM 15-07-2012
Gambar oleh Nomy Nozwir.KUALA LUMPUR, 15 Julai — 1Malaysia For Youth (1M4U) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap golongan belia dan gerakan sukarelawan negara di Esplanade KLCC, petang ini.
Beliau berkata, belia yang kini merupakan 45 peratus daripada penduduk negara adalah golongan yang akan mencorakkan pembangunan dan hala tuju negara pada masa depan.
Sehubungan dengan itu kerajaan beliau tidak akan sesekali meminggirkan orang muda, bahkan akan terus diberikan perhatian dalam pentadbirannya.
“Kita pilih perkarangan KLCC kerana ini adalah tempat yang mencerminkan Malaysia yang moden dan majmuk, yang akan menjadi aspirasi belia,” kata Najib.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri juga melancarkan dana sukarelawan yang berjumlah RM100 juta dibawah 1M4U yang dikenali sebagai Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M).
DRe1M akan menyalurkan peruntukan kewangan dalam bentuk geran kepada pertubuhan-pertubuhan belia, NGO serta kumpulan-kumpulan belia yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana pertubuhan atau badan beruniform untuk menjalankan aktiviti kesukarelawan.
Perdana Menteri itu juga akan mempengerusikan satu Lembaga Pemegang Amanah 1M4U untuk memastikan kelancaran pergerakan belia tersebut.
Katanya lagi, selaras dengan perkembangan belia masa kini yang celik IT, semua permohonan dipohon dan diproses melalui talian (online), di laman web www.1m4youth.com.my dan semua maklumat akan terkandung di situ.
“Kita harapkan ini adalah satu gelombang yang baik untuk kemajuan negara, bukan memusnahkan negara dengan demonstrasi jalanan dan rusuhan.
“Kita mahu transformasi negara akan menjadi lebih baik dengan belia terlibat dalam bidang kesukarelawan.”
Beliau juga mengumumkan tahun 2013 sebagai Tahun Sukarelawan Negara.
Serentak dengan perasmian itu, Perdana Menteri juga berkata 100,000 topi keledar 1M4U akan diedarkan di seluruh Malaysia, serta tiket perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Manchester City yang berharga RM10 untuk tujuan kebajikan.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr Shafie Apdal.





