Bahasa

Najib mahu belia Selangor jadi barisan hadapan BN kuasai semula kerajaan negeri





(gambar)




Najib menyifatkan pilihan raya umum ke-13 ini merupakan pilihan raya penting, yang mengumpul suara orang muda untuk menentukan kejayaan BN.

"Acara ini sangat penting bagi mengumpulkan semangat anak muda di Selangor yang berkobar-kobar, lantang dan penuh keberanian untuk merampas kembali Selangor.

"Pilihan raya kali ini untuk semua, lebih-lebih lagi orang muda yang akan menentukan kejayaan kita.. orang muda ada tenaga," katanya.

Pada pilihan raya umum kali ini, 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripada 13,291,385 pengundi yang layak merupakan pengundi muda di bawah 40 tahun.

Najib berkata "Jika BN dibenar kembali mentadbir Selangor perubahan besar akan dilakukan dengan jaminan pentadbiran negeri yang lebih baik terutamanya penyelesaian masalah air yang menyusahkan rakyat terutama yang tinggal di rumah-rumah pangsa."

Najib menyifatkan kerajaan PKR-DAP-PAS Selangor gagal mentadbir negeri ini dengan baik sehingga timbul pelbagai masalah seperti sampah tidak dikutip, pasir dijual, banjir kilat tidak terkawal dan peningkatan rumah-rumah urut. "Cukuplah dengan tipu helah dan pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan negeri, dan BN telah menghantar mesej yang jelas supaya kerajaan negeri sekarang ditukar," katanya.

Beliau juga berjanji jika BN diberi peluang untuk mentadbir negeri ini, gelombong biru akan mencetuskan perubahan pada masa depan yang terlalu bernilai untuk diperjudikan.

"Rakyat Selangor tidak boleh kekalkan kepimpinan pentadbiran yang hanya pandai berjanji banyak...beri peluang kepada BN. Kita janji untuk melaksanakan yang lebih baik, menyelesaikan masalah-masalah rakyat yang selama ini tidak dapat diselesaikan, termasuk masalah air," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan 22,000 topi keledar berwarna biru dengan logo iM4U kepada anak muda yang mewakili 22 bahagian BN di Selangor untuk menjayakan misi "MESTI MENANG" BN untuk menguasai Selangor. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.