Bahasa

Najib memikat rakyat Pulau Pinang dalam lawatan dua hari Tahun Baru Cina

Najib menarik-Yee Sang dengan kaum media pada majlis makan malam. — Gambar K.E. OoiNajib menarik-Yee Sang dengan kaum media pada majlis makan malam. — Gambar K.E. OoiGEORGE TOWN, 11 Feb — Dengan Pilihan Raya 2013 semakin hampir, lawatan Datuk Seri Najib Razak selama dua hari di sini, kemuncaknya pada rumah terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) di padang sekolah Han Chiang hari ini, menampilkan penyanyi rap Korea Selatan, Psy.

Dalam apa yang dilihat sebagai usaha bertumpu untuk mempengaruhi pengundi Pulau Pinang dan menawan semula negeri itu, lawatan perdana menteri tidak lama selepas lawatan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berada di sini selama sehari minggu lepas.

Ini merupakan lawatan kedua Najib ke negeri tersebut dalam masa dua bulan, terakhir pada 8 Disember dimana beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dan masalah perumahan negeri, dengan monorail dan 20,000 unit rumah mampu milik.

Beliau memulakan lawatannya semalam dengan perjumpaan tertutup dengan pemimpin masyarakat Cina tempatan, pemimpin komuniti perniagaan, gabungan bukan kerajaan dan badan perhubungan negeri BN di Hotel Traders di sebelah petang.

Kemudian, beliau meraikan pengamal media tempatan dengan malam media, yang menurut ketua penerangan BN negeri Tan Cheng Liang diatur secara tergesa-gesa apabila keputusan untuk mengadakannya dibuat pada Jumaat lepas.

Wakil-wakil dari sejumlah 16 organisasi media, termasuk media dalam talian, menghadiri acara di mana Najib mengucapkan terima kasih kepada semua orang kerana menghabiskan hari pertama Tahun Baru Cina bersamanya.

Lawatan dua harinya di sini, terutama pada dua hari pertama Tahun Baru Cina, boleh dilihat sebagai usaha untuk menarik lebih banyak sokongan masyarakat Cina dalam keadaan di mana lebih daripada 50 peratus daripada penduduk adalah dari etnik Cina, terutamanya di sebelah pulau.

“Pulau Pinang penting untuk kita. Ia merupakan salah satu daripada permata kami dan banyak lagi yang kita boleh lakukan di Pulau Pinang,” kata Najib dalam ucapan ringkasnya di malam media di Hotel G.

“Saya mahu sampaikan mesej kepada masyarakat Cina bahawa saya bersedia untuk melibatkan diri dengan masyarakat Cina, ini sebabnya saya belajar untuk memalu gendang,” katanya merujuk kepada klip video iklan Tahun Baru Cina dimana Najib muncul memali gendang Cina.

Beliau meyakinkan masyarakat Cina bahawa beliau menghormati kebudayaan masyarakat Cina di negara ini, dan ia perlu dihormati sepertimana budaya Melayu dan India.

“Ini adalah nilai asas Satu Malaysia di mana semua akan merasakan rasa memiliki kepada negara, jadi rakyat tidak perlu takut Satu Malaysia,” kata Najib.

Selepas makan malam, pengerusi BN mengadakan tinjauan mesra di kawasan popular Persiaran Gurney sambil mengedarkan Ang Pau kepada orang ramai sebelum ke tempat makan penjaja tempatan di pusat penjaja Persiaran Gurney yang terkenal itu.

Walaupun tumpuan lawatannya kali ini dilihat untuk memancing undi masyarakat Cina, Najib turut menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kapitan Keling selepas melawat Persiaran Gurney.

Presiden Umno itu turut mencuba Nasi Kandar Beratur yang terkenal terletak berhampiran dengan Masjid Kapitan Keling. Ratusan beratur setiap malam untuk apa yang dilihat sebagai hidangan terkenal Pulau Pinang itu.

Menurut penyelaras MCA Paya Terubong Koh Wan Leong, Najib memilih untuk menghabiskan dua hari pertama Tahun Baru Cina di Pulau Pinang menunjukkan beliau mahu turun ke bawah dan bersama dengan orang-orang di sini.

“Dia mahu berkongsi kegembiraan musim perayaan ini dengan rakyat Pulau Pinang dan beliau mahu sambutan besar hari ini untuk menjadi satu kejayaan besar,” katanya.

Lewat hari ini, di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, 80,000 orang dijangka hadir untuk acara yang akan menampilkan penyanyi K-pop sensasi Psy, terkenal dengan lagu hitnya “Oppa Gangnam Style”.

Najib pada mulanya akan menghadiri Rumah Terbuka Dewan Masyarakat Cina Pulau Pinang di bandar pagi ini sebelum beliau menyertai perayaan BN pada sekitar 10.45 pagi.

Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang, akan membuat persembahan dua lagu pada sebelah petang.

Buffet makanan untuk 50,000 orang disediakan dan majlis ini percuma untuk orang ramai.

BN telah bekerja habis-habian untuk menawan semula negeri sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri selepas ia memenangi 29 daripada 40 kerusi negeri pada tahun 2008, menghalau keluar parti komponen BN, Gerakan, MCA dan MIC, dan meninggalkan hanya 11 kerusi kepada Umno.

Kali ini, BN berharap bukan sahaja untuk mendapatkan kembali beberapa kerusi tetapi untuk memenangi kembali negeri dengan Muhyiddin menyatakan tidak mustahil untuk gabungan itu untuk memenangi kembali walaupun ia tidak mudah.

Ia adalah alasan mengapa parti itu memilih untuk mengadakan rumah terbuka di tempat sama di mana perhimpunan besar Pakatan Rakyat pernah diadakan pada tahun 2008 yang memenangi negeri itu dengan kemenangan besar.

Sumber dalaman parti mempercayai rumah terbuka akan mempengaruhi lebih ramai pengundi kepada BN tetapi apa yang masih belum dapat dilihat sama ada rakyat Pulau Pinang akan datang dengan berpakaian hijau, kuning dan merah seperti yang digalakkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masing-masing untuk mewakili perjuangan alam sekitar, Bersih untuk pilihan raya bersih dan kerajaan Pulau Pinang sekarang.

Penganalisis setakat ini menjangkakan Pakatan Rakyat akan mempertahankan negeri oleh kerana ramai rakyat Pulau Pinang gembira dengan pentadbiran sekarang dan kebanyakkan program sosialnya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.