Bahasa

Najib menyamakan BN dengan Taoisme untuk menang undi masyakat Cina

Najib berkata amalan kesederhanaan adalah tema Taoisme, seperti konsep perkongsian kuasa BN, di mana setiap kaum diwakili secara adil di bawah satu payung. - Picture by Choo Choy MayNajib berkata amalan kesederhanaan adalah tema Taoisme, seperti konsep perkongsian kuasa BN, di mana setiap kaum diwakili secara adil di bawah satu payung. - Picture by Choo Choy MayIPOH, 9 April — Datuk Seri Najib Razak menyamakan kesederhanaan Barisan Nasional (BN) dengan cara hidup pengikut Tao, sebagai langkah memenangi undi masyarakat Cina di Perak, menjanjikan kerajaannya akan memberikan keadilan kepada semua kaum sekiranya diberi peluang untuk terus memerintah selepas Pilihan Raya 2013.

Beliau mengatakan, amalan kesederhanaan adalah tema Taoisme, seperti konsep perkongsian kuasa BN, di mana setiap kaum diwakili secara adil di bawah satu payung.

"Kesederhanaan adalah kunci kepada kesinambungan dan kejayaan negara kita," kata Najib kepada hadirin yang kebanyakkannya mewakili pertubuhan masyarakat Cina dan pertubuhan bukan kerajaan dalam satu majlis makan tengah hari di dewan kuil Tao Tow Boo Keong di sini.

Perdana menteri yang pada awalnya terkejut dengan kehadiran besar dalam majlis itu mengatakan hak masyarakat Cina akan dibela oleh kerajaan.

Najib mengatakan kesederhanaan adalah kunci untuk mencapai ini dan menegaskan walaupun hak Melayu dipertahankan, tidak semestinya hak kaum-kaum lain akan diabaikan.

“Kita tidak boleh melihat ini sebagai satu permainan. Kita tidak boleh mengatakan jika kita membantu orang-orang Cina, orang Melayu akan rugi atau jika kita membantu orang Melayu, orang Cina akan rugi.

“Terdapat banyak kekayaan dan kita boleh membantu semua ... jadi jika anda menyokong BN, semua rakyat Malaysia akan mendapat faedah,” katanya.

Masyarakat Cina Perak dilihat sebagai penyokong kuat dan penyokong tradisional DAP, memberikan 70 peratus undi mereka kepada parti pembangkang dalam pilihan raya umum pada 2008.

Sepertimana orang-orang Melayu di sini yang menyokong BN dan parti tunggaknya Umno, komuniti Cina dijangkakan memberikan kesukaran bagi gabungan pemerintah itu untuk mendapatkan sokongan apabila Pilihan Raya 2013 tiba.

Najib dilihat sedar tentang perkara ini, mengatakan dalam ucapannya beliau seringkali bertanya pada dirinya apakah yang dimahukan oleh masyarakat Cina daripada kerajaannya.

Melalui jelajahnya di seluruh Malaysia, beliau dapat melihat peningkatan sokongan masyarakat Melayu dan India terhadap BN, akan tetapi ini tidak dapat dilihat dalam masyarakat Cina.

“Jadi saya bertanya pada diri sendiri — apa yang sebenarnya masyarakat Cina mahukan?” katanya.

“Mereka mahu kerajaan yang adil kepada semua,” jawab beliau.

“Saya percaya ini, kita boleh lakukan. Kita boleh menjadi adil kepada semua tanpa merampas hak Melayu dan lain-lain.

“Hak Melayu dan lain-lain akan terus ada tetapi kita akan menjadi adil kepada masyarakat Cina,” katanya.

Pilihan Raya 2013 akan menjadi paling sengit dalam sejarah kerana buat pertama kalinya BN dicabar hebat oleh pembangkang paling tersusun seperti Pakatan Rakyat (PR).

222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan untuk direbuti.

Pemerhati menjangkakan BN akan terus memerintah walau bagaimanapun, tidak mustahil bagi PR untuk membuat kejutan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.