Bahasa

Najib: Meritokrasi, keadilan sosial perlu diadun elak negara jadi ‘mediokriti’

Najib ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Shah Alam. — Foto oleh Choo Choy MayNajib ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Shah Alam. — Foto oleh Choo Choy MaySHAH ALAM, 19 Ogos — Datuk Seri Najib Razak berkata negara perlu mengadukan elemen meritokrasi dan keadilan sosial untuk memastikan Malaysia mengejar kecemerlangan.

“Kalau tak ada meritokrasi, langsung tak ada meritokrasi, apa akan jadi kepada negara kita? Kita akan menjadi sebuah negara mediokriti... maknanya kita tidak mengejar kecemerlangan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata satu sistem baru kerajaan akan menggunakan meritokrasi di kalangan Bumiputera dengan mengenal pasti dan memberi ganjaran kepada ahli-ahli perniagaan Melayu yang jujur dan layak dan pada masa yang sama mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi memperkasakan ekonomi Melayu.Kata beliau, memfokus keseluruhan sistem dari sudut meritokrasi tidak adil kepada individu-individu yang tinggal di kawasan luar bandar dan separa bandar kerana tidak boleh bersaing pada paras persaingan seimbang dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar.

“Ya, sesetengah mengatakan bahawa sudah sampai masanya kita sudah tidak perlu lagi tindakan afirmatif, sesetengah berkata kita boleh menarik balik sistem kuota, kita tidak perlu ini dan itu... dan kita harus mengamalkan meritokrasi sepenuhnya.

“Ini bukan hanya datang daripada bukan Melayu sahaja, tetapi orang Melayu sendiri, yang dipanggil Melayu liberal,” kata beliau di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera.

Ia dianjurkan bersama oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Universiti Teknologi Mara.

Najib berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) sebahagiannya wajar diberi kredit kerana bertimbang rasa dan berlaku adil kepada bukan Melayu dengan menyediakan persekitaran yang membolehkan perniagaan mereka maju.

“Tetapi sekarang jangan pula tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu... mereka (bukan Melayu) juga wajar adil kerana orang Melayu berada dalam situasi kekurangan.

“Kemungkinan mereka mengatakan bahawa (tindakan afirmatif) selama 40 tahun sudah cukup, tetapi sebahagian besar mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan separa luar bandar masih memerlukan bantuan kerajaan menerusi dasar-dasar bantuan. Jadi, bergantung sepenuhnya pada meritokrasi adalah tidak adil,” kata beliau.

Dalam ucapannya Najib merujuk kepada penduduk Kampung Bantal dan Kampung Pagi di Ulu Tembeling.

Kampung Bantal diberi nama sedemikian kerana mereka yang pergi ke kampung itu akan cuba untuk tidur dengan segera sebaik tiba selepas satu perjalanan yang jauh.

Dalam pada itu, Kampung Pagi pula dinamakan kerana seseorang itu hanya akan tiba di kampung itu pada keesokan pagi.

“Sekarang bandingkan dengan mereka yang tinggal di kampung-kampung ini dengan mereka yang tinggal di Canning Hills atau Lembah Klang. Jika mereka tidak mendapat bantuan, mereka yang tinggal di kampung-kampung tidak akan merasai kehidupan yang lebih baik.

“Itu sebabnya kita kena adunkan meritokrasi dengan keadilan sosial. Dengan meritokrasi sahaja, kita akan menjadi sebuah negara mediokriti... bermakna kita tidak mengejar kecemerlangan,” kata beliau.

Najib juga berkata konsep meritokrasi akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera dan justeru, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sedang dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera yang berkemampuan untuk berjaya di bursa saham.

Katanya, kerajaan akan membantu syarikat-syarikat, yang senarainya akan diumumkan dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi.

Najib menambah kerajaan akan membantu syarikat berkenaan supaya menjadi lebih besar.

“Jika perolehannya RM100,000 tahun ini, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan meningkat kepada RM1 juta, dan kalau sekarang ini hanya beroperasi di dalam negara, syarikat-syarikat itu nanti akan berkembang ke peringkat antarabangsa,” kata Najib.

Kata beliau, insya-Allah program ini merupakan satu pendekatan baru yang berdasarkan meritokrasi dalam kalangan Bumiputera.

“Tak ada lagi soal kroni... tidak ada lagi soal siapa kita tahu bukan kawan rakan kita, tapi orang yang benar-benar boleh berjaya, orang itulah yang kita bantu,” katanya.

Najib juga memberitahu, perubahan pendekatan dalam membantu usahawan Bumiputera berdasarkan meritokrasi itu dilihat lebih baik memandangkan kaedah dahulu seperti pemberian saham terbitan awam menerusi kuota Bumiputera, tidak bertahan lama kerana saham-saham itu dijual kembali ke pasaran.

Nota: Berita asal digugurkan dan digantikan dengan versi baru.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.