Najib nafi campurtangan projek LRT Ampang
KUALA LUMPUR, 29 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan terdapat campurtangan beliau dalam pemberian tender projek sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Ampang.
Sebaliknya, beliau menegaskan projek tersebut “berjalan menurut aturan” walaupun pembangkang telah mendedahkan berlakunya campurtangan beliau dalam pemberian tender projek tersebut.
Malah, perdana menteri (gambar) juga menegaskan, tidak berlaku sebarang perkara meragukan terhadap projek tersebut.
“Semuanya menurut aturan. Tiada ada perkara yang tidak kena dengan projek tersebut,” katanya ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Awal hari ini, The Malaysian Insider melaporkan, PKR telah mendesak pihak polis supaya menyiasat dakwaan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri itu berhubung pemberian projek bernilai RM960 juta tersebut.
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli Ramli berkata pihaknya mempunyai “bukti kukuh” yang mengaitkan campurtangan Najib dalam pemberian projek tersebut, dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap perdana menteri tersebut.
“Apa yang mengejutkan adalah beliau sendiri telah memilih untuk memberikan projek tersebut kepada konsortium George Kent.
“Kami mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan campurtangan beliau yang menidakkan keputusan jawatankuasa pemilih,” kata Rafizi lagi.
PKR sebelum ini mendakwa “boleh membuktikan George Kent bukanlah konsortium yang dipilih untuk projek tersebut” sepertimana laporan akhbar Business Times.
Malah, Rafizi juga turut mempersoalkan laporan akhbar tersebut yang melaporkan pembida berkenaan akan memenangi bidaan projek tersebut dengan jumlah RM960 juta bagi penyambungan LRT aliran Ampang dan menegaskan,” pembida itu tidak tersenarai dalam proses penilaian bidaan.”
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mula melakukan penyiasatan terhadap Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) petang tadi terhadap projek bernilai RM960 juta itu.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan hanya lima daripada lapan pembida melepasi penilaian teknikal dan komersial namun pemilik projek, SPNB akhirnya mencadangkan satu daripada dua konsortium Korea Utara — PDA Consortium, kerana pembida lain tidak menepati beberapa syarat.
“George Kent tidak disenaraikan kerana gagal dari aspek teknikal dan komersial, jadi amat mengejutkan ia dispekulasikan untuk memenangi bidaan dan PKR mula melaporkannya,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
PKR telah pun menunjukkan salinan dokumen rasmi daripada sebuah jawatankuasa penilaian di Kementerian Kewangan yang bertarikh 25 Januari yang telah memutuskan untuk menyerahkan projek tersebut kepada Balfour Bratty Invensys Consortium.
Jawatankuasa itu adalah pihak tertinggi dalam penilaian yang dipengerusikan sendiri oleh Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Namun, Business Times bulan ini telah menspekulasikan konsortium George Kent bakal memenangi projek tersebut, mengulangi laporannya tahun lalu.
The Malaysian Insider turut melihat beberapa laporan yang menunjukkan George Kent tidak pernah terlibat dengan pengurusan projek mega berkenaan pembinaan landasan. Menurut laporan, konsortium tersebut dikenali sebagai pemain dalam industri air dengan projek bernilai RM40 juta.
Sumber berkata, berdasarkan pembentangan mereka, George Kent mempunyai idea terhad untuk menguruskan projek tersebut, yang mana meliputi pembinaan sistem isyarat daripada sistem sedia ada dan penyambungan sistem sedia ada.
“Perdana menteri tahu sebahagian keputusan jawatankuasa pemilih akan membuktikan dakwaan kami.
“Kami akan terus membuat pendedahan, lebih banyak bukti akan didedahkan selepas ini,” kata Rafizi dalam sidang media selepas laporan polis itu dibuat di Balai Polis Tropicana di sini.
Awal hari ini, The Malaysian Insider melaporkan, PKR telah mendesak pihak polis supaya menyiasat dakwaan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri itu berhubung pemberian projek bernilai RM960 juta tersebut.



