Bahasa

Najib nafi dakwaan derma RM40j kepada Umno Sabah diseludup

KUALA LUMPUR, 19 Okt  — Datuk Seri Najib Razak (gambar) menafikan wang derma berjumlah RM40 juta yang disalurkan kepada Umno Sabah telah diseludup masuk ke dalam negara.

Presiden Umno itu disoal wartawan mengenai terdapat keberangkalian wang tersebut diseludup sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Tidak, tidak. Ia sudah diterangkan di Parlimen,” jawab Najib semasa disoal mengenai isu penyeludupan tersebut.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mempertahankan Umno Sabah menerima wang derma RM40 juta tersebut yang tidak diketahui sumbernya malahan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menggesa pemimpin PR untuk merujuk kepada agensi anti-rasuah Hong Kong sekiranya masih tidak berpuas-hati mempertikaikan sumbangan tersebut.

Dalam sidang media minggu lalu, Najib berkata pemberian dana RM40 juta kepada Umno Sabah adalah bertujuan derma politik dan selagi ia disalurkan dengan cara yang betul ia bukan satu kesalahan.

Dalam laporan media yang lalu, Nazri dalam jawapan balas kepada ahli parlimen PKR, Chua Tian Chang berkata tiada elemen perbuatan rasuah dapat dibuktikan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah ke atas Datuk Musa Aman  serta berkata wang berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan adalah bertujuan untuk kegunaan Umno Sabah.

Ahli parlimen Padang Rengas juga berkata pihak Peguam Negara (AG) telah meneliti perkara tersebut dan menutup kes itu selepas mendapati tiada unsur rasuah dibuktikan oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report awal tahun ini.

“Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada badan perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua menteri,” jawab Nazri.

Nazri juga berkata Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) turut menyiasat kes tersebut tetapi tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.

Pada April lalu, Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah mempunyai sejumlah US$30 juta (RM92 juta) dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki oleh Musa.

Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa ini merupakan pelabur balak yang banyak menjalan menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Island yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.

Musa menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah US$16 juta (RM40 juta).

Menurut laporan media, Chia memberitahu kerajaan Hong Kong bahawa wang tersebut adalah milik Musa.

“Saya nafikan semua tuduhan ini,” kata Musa.

Musa sebaliknya mendakwa Sarawak Report cuba menjatuhkannya dan mengatakan ia sebahagian daripada konspirasi pembangkang untuk menawan negeri tersebut.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.