Bahasa

Najib: Pakatan cuba politikkan sambutan Tahun Baru Cina

Oleh Nomy Nozwir
February 08, 2013

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Pakatan Rakyat (PR) cuba mempolitikkan sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung di Pulau Pinang, kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Najib mempersoalkan niat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) yang mahu orang ramai memakai baju mengikut warna yang mewakili organisasi seperti Bersih atau Anti-Lynas.

“Kita buat semata-mata untuk raikan orang Cina, dan BN (Barisan Nasional)Pulau Pinang berhasrat untuk adakan majlis itu.

“Kenapa pula majlis itu nak dicemar dengan unsur-unsur politik, kalau kita adakan dia pun boleh adakan,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Najib juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menurunkan kain rentang dan poster BN di negeri itu baru-baru ini.

“Kenapa dia nak cuba halang kita dengan turunkan banner poster?” kata Najib lagi.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menurunkan poster dan kain rentang BN yang menunjukkan gambar Najib di sekitar George Town.

Najib berkata, kerajaan negeri PR sebenarnya cuba menjemput penyanyi sensasi K-Pop, Psy, namun penyanyi tersebut menghadiri majlis BN dan merosakkan program kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu.

“Sebenarnya dia nk jemput Psy tu untuk majlis Pakatan tapi bila dia hadir majlis kita, rosak program dia.

“Saya pelik dengan reaksi dia seperti ini, sebab tiap-tiap tahun kita buat,” kata Najib lagi.

Sambutan tersebut dijangka dapat menarik 60,000 orang dan kemuncak acara tersebut ialah persembahan lagu “Oppa Gangnam Style” oleh penyanyi rap Korea Psy.

Psy, atau nama sebenarnya Park Jae-sang, akan membuat persembahan bersama juara Asian Wave 2012 Shila Amzah, serta terdapat tarian singa, tarian naga pada acara tersebut.

Muhyiddin juga berkata acara ini ditaja pihak swasta dan bukan oleh BN.

Menurut jurucakap BN mendedahkan persembahan Psy ini ditaja oleh penganjur acara Mega Ultimate.

Media sosial dari orang ramai mengkritik dengan dakwaan bahawa BN membayar RM2 juta untuk membawa “fenomena” Korea itu untuk menyanyi di sini.

Sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang dilihat sebagai percubaan BN untuk mendapatkan lebih banyak sokongan terutamanya golongan muda, bagi merampas kembali Pulau Pinang dari DAP yang menang pada tahun 2008.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi