Bahasa

Najib: RM1.4b peruntukan untuk warga emas, OKU dan ibu tunggal

SEREMBAN, 25 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semalam kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion bagi membantu golongan warga emas, OKU dan ibu tunggal di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau telah berucap pada Majlis Mesra Rakyat dan Pelancaran Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas di Padang Awam Desa Rhu, Sikamat.

Dipetik Bernama Online, Najib berkata pada 2010, sebanyak 2.1 juta orang atau 7.5 peratus dari rakyat Malaysia terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, dan menjelang tahun 2020, angka itu meningkat kepada 3.2 juta orang atau 9.5 peratus dan akan terus mengunjur sehingga 15 peratus menjelang 2030.

“Kita tidak boleh mengamalkan dasar negara kebajikan yang diamalkan oleh negara-negara Barat, yang hari ini ekonomi mereka sudah merudum, kerana tanggungan itu tidak dapat ditampung,” katanya.

Beliau menambah walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk golongan warga emas, sumbangkan daripada anak-anak warga emas adalah yang paling penting sekali, dan sebagai anak perasaan kasih sayang dan rasa terhutang budi kepada ibu bapa perlu dikekalkan dan tidak boleh dikompromi sama sekali.

Najib berkata kempen ini merupakan satu program yang amat baik kerana tugas menjaga dan membantu golongan tua bukan diletakkan pada kerajaan sahaja, sebaliknya anak-anak sendiri wajib menjalankan tanggungjawab ini.

“Mereka ini telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, ibu kita melahirkan kita dan mengandungkan kita selama sembilan bulan, tentu sekali mereka ini perlu kita jaga sewaktu mereka sudah berumur.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.