Bahasa

Najib setuju tuntutan pekerja badan berkanun tubuh dana pencen seragam

Oleh Nomy Nozwir
March 25, 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri Perhimpunan Perdana Bersama Tujuh Badan Berkanun Yang Diasingkan, hari ini. — Gambar oleh Siow Feng SawPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri Perhimpunan Perdana Bersama Tujuh Badan Berkanun Yang Diasingkan, hari ini. — Gambar oleh Siow Feng SawKUALA LUMPUR, 25 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk menubuhkan dana pencen seragam bagi tujuh badan berkanun yang diasingkan saraan (BBDS), disamping tuntutan-tuntutan lain dari kesatuan pekerja itu.

Menurut Najib, selain dari dana pencen itu, kerajaan juga bersetuju dengan tuntutan lain seperti imbuhan tetap perumahan, pemberian saguhati kepada mereka yang bersara dan pembayaran bagi pihak majikan untuk tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang seragam bagi kesemua pekerja-pekerja yang terlibat.

“Kita adalah kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, tetapi kita mesti tunaikan permintaan dalam lingkungan realiti sekarang.

“Jika ekonomi berkembang, hasil negara bertambah, badan berkanun ditadbir dengan baik, kekayaan itu kita kongsi bersama rakyat,” kata Najib sempena Perhimpunan Perdana Bersama Tujuh Badan Berkanun Yang Diasingkan, hari ini.

BBDS mewakili 40,000 orang pekerja dalam badan-badan berkanun seperti  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Badan-badan berkanun ini dipisahkan sejak 1992 dan mempunyai autonomi sendiri, dari sebelumnya merupakan di bawah sektor awam.

Pada tahun 2005, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi autonomi kepada tujuh badan berkanun ini untuk menetapkan sendiri kadar peningkatan peratus dalam KWSP.

Menurut Presiden BBDS, Tuan Azman Tuan Yaacob, pemisahan ini pada awalnya dilakukan kerana prestasi mereka yang cemerlang menyebabkan mereka mahu memisahkan dari sektor awam.

“Tetapi sekarang sektor awam, dibawah pentadbiran sekarang telah jauh meninggalkan kita, kita telah ketinggalan...”, kata Tuan Azman dalam ucapannya.

Menurut Najib, satu pertemuan antara beliau dan Tuan Azman diadakan pada 22 Februari lalu, dan di antaranya membincangkan mengenai tuntutan-tuntutan pekerja dalam badan berkanun ini.

“Saya sudah tunaikan janji, janji sudah ditepati, kini tiba masanya anda pula untuk menepati janji,” kata Najib kepada kira-kira 5,000 orang di dalam dewan, yang memakai baju merah dan bersorak ‘I Love PM’.

Langkah ini dilihat sebagai satu cara memenangi hati pekerja dalam sektor badan berkanun, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Presiden Kongres Kesatuan-Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman berkata, beliau berharap kesemua agensi-agensi ini dapat disatukan sebagai penjawat awam.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi