Bahasa

Najib tandatangan deklarasi hak asasi manusia pertama ASEAN

Oleh Clara Chooi
Penolong Pengarang Berita

November 18, 2012
Latest Update: November 19, 2012 05:06 am

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) telah menandatangani deklarasi hak asasi manusia ASEAN (AHRD) pertama di Kemboja hari ini, sekaligus menunjukkan komitmen Malaysia terhadap konvensyen hak asasi manusia peringkat antarabangsa pertama untuk menyokong keadilan setiap individu tidak mengira kaum, agama dan pandangan politik.

Dengan perjanjian ini yang berlangsung di Sidang Kemuncak ASEAN di Peace Palace di ibu kota Kemboja, Phnom Penh, menyaksikan peluang Malaysia dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib untuk menafikan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

“ASEAN harus mempromosi perlindungan hak asasi manusia dalam rantaunya mengikut acuannya sendiri dan juga cuba mengekalkan standard tertinggi berdasarkan deklarasi di peringkat antarabangsa,” kata Setiausaha Agung ASEAN Surin Pitsuwan dipetik dari The Star Online.

Menurut laporan media, AHRD mempunyai 40 klausa yang meliputi hak asasi dan politik, ekonomi, sosio-budaya, proses pembangunan dan penggalakan keamanan.

Deklarasi tersebut juga menyebut tentang hak wanita, kanak-kanak, warga tua, dan orang kurang upaya disamping pekerja asing sebagai sebahagian dari hak asasi manusia dan kebebasan fundemental, menurut laporan The Star.

Najib beberapa kali diserang dengan dakwaan menggunakan kekerasan apabila melibatkan isu hak asasi manusia, hak individu dalam kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Contohnya penggunaan kekerasan dalam perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pilihan raya adil, pada 9 Julai 2011 dan 28 April tahun ini - yang menyebabkan keganasan di jalan raya bandar raya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Najib telah membaiki kebebasan bersuara di Malaysia, termasuk memansuhkan akta kontroversi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan, dan meluluskan akta baru untuk berhimpun, membenarkan penyertaan pelajar dalam politik serta meringankan undang-undang kepada pihak media.

Tetapi dalam perhimpunan 28 April lalu, pihak media asing mengkritik cara kerajaan menangani peristiwa ini kerana akan menjatuhkan imej Najib sebagai reformis dan menyebabkan perdana menteri terpaksa menangguhkan pilihan raya.

Kebanyakan media antarabangsa mengambil pendirian sama, dengan Reuters melaporkan bahawa tindakan polis telah meningkatkan "risiko tindakbalas politik mungkin melewatkan pilihan raya umum dijangka seawal Jun."

Agence France-Presse juga mengatakan "perhimpunan ini mencetuskan dilema kepada Najib - sejak tahun lalu cuba memperlihatkan dirinya sebagai reformis, melancarkan kempen untuk menghapuskan undang-undang autokratik dalam usaha menjadikan negara ini sebagai 'demokrasi terbaik'."

Beberapa laporan juga merujuk kepada perhimpunan Bersih pertama, beberapa bulan sebelum pilihan raya 2008, yang menyaksikan rekod BN paling buruk apabila kehilangan dua pertiga majoriti dalam Parlimen dan lima kerajaan negeri.

Najib mengambil alih jawatan perdana menteri dari Tun Abdullah Badawi setahun kemudian, dan cuba untuk memperbaiki keputusan dan hanya keputusan dua pertiga majoriti yang mampu mengekalkan beliau selaku presiden Umno.

Media antarabangsa mengkritik cara Putrajaya menangani perhimpunan Bersih pada Julai 2011, menyebabkan Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa parlimen ke atas reformasi sistem pilihan raya dan Akta Perhimpunan Aman, dalam usaha untuk menawan hati golongan pertengahan.

Media antarabangsa setakat ini terus membawa kritikan dari badan bebas Human Right's Watch terhadap kerajaan,  dengan berkata "penghinaan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan."

"Walaupun mereka kata mahu berubah sejak beberapa tahun lalu, kita sering melihat pengulangan tindakan ganas oleh kerajaan yang tidak teragak-agak menggunakan kekasaran bila kuasa mereka dicabar," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Right's Watch peringkat Asia.

Selain Bersih, BN juga dikritik peringkat antarabangsa kerana mendakwa salahlaku seks dan liwat ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan mahu menghentikan kempennya untuk menewaskan gabungan parti kerajaan itu.

Kes kematian dalam tahanan dalam beberapa tahun ini telah menyebabkan kerajaan dikritik, contohnya kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, di mana kematiannya berlaku ketika berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menghantui kerajaan sejak 2009.

   

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi