Bahasa

Najib tiba di Pulau Pinang untuk lawatan kerja sehari

GEORGE TOWN, 8 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini pagi ini untuk lawatan kerja sehari di negeri ini.

Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disambut bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Perdana Menteri akan turut mengadakan tinjauan mesra di Pasar Bayan Baru sebelum merasmikan program siri Jelajah Janji Ditepati di padang kawad, Universiti Sains Malaysia.

Pada program itu, Najib akan membuat beberapa pengumuman penting termasuk mengenai Perumahan Rakyat 1 Malaysia dan dijangka lebih 50,000 orang dijangka hadir pada program itu yang bertemakan “Perumahan Rakyat”.

Najib dijangka menyertai penduduk Bayan Baru untuk menikmati jamuan makan tengah hari bersama masyarakat setempat di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Bayan Baru, di sini.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijangka mengadakan tinjauan mesra di Rumah Panjang Transit Tanjung Tokong dan Flat Tanjung Tokong.

Selain itu, Najib akan turut melawat Galeri UDA dan Galeri Warisan Kampung Tanjung Tokong untuk melihat projek perumahan yang dibangunkan UDA Holdings Bhd.

Pada lawatan itu, Perdana Menteri dijangka melawat Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru Tanjung dan menghadiri kenduri kahwin dua penduduk Tanjung Tokong yang diadakan di kawasan masjid itu.

Sebelum mengakhiri lawatan, Najib akan bersolat Asar di masjid itu dan beramah mesra dengan jawatankuasa masjid serta jawatankuasa penduduk Kampung Tanjung Tokong sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.