Bahasa

Najib: Umno tidak boleh bergantung kemenangan lampau untuk menang PRU

Oleh Shazwan Mustafa Kamal
May 05, 2012

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Umno tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian sewaktu pilihan raya sebelum ini kerana pengundi sekarang mahukan rancangan masa hadapan parti untuk Malaysia jelas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib (gambar) berkata, sokongan 3.3 juta ahli Umno perlu diperjelaskan berkenaan hala tuju parti pada pilihan raya umum akan datang dan menegaskan mereka perlu elak daripada “mencampur adukkan” kepentingan parti daripada kepentingan individu.

“Sebagai sebuah parti yang telah wujud sejak sekian lama, jasa parti tidak ternilai. Namun pengundi hari ini tidak melihat kepada sejarah kejayaan kita sebelum ini.

“Mereka mahukan perjuangan kita pada hari ini dan masa hadapan. Oleh itu, kita tidak boleh bergantung kepada sejarah semata-mata, kita perlu melihat kehadiran Umno dalam konteks sekarang dan masa hadapan,” katanya dipetik temuramah khas bersama Umno Online.

Transkrip penuh temuramah tersebut boleh diakses di Bernama Online.

Presiden Umno itu berkta kesemua ahli Umno perlu memainkan peranan bagi memastikan gerak kerja parti selari dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Kita perlu menghargai pengundi kerana ada kalanya ahli Umno tidak mengundi dalam pilihan raya. Kita perlu memastikan setiap 3.3 juta ahli itu memainkan peranan mereka,” kata Najib.

Umno, jelas Najib tidak lagi boleh bergantung kepada “perkara biasa” mereka perlu berusaha gigih mengatur strategi terutamanya di negeri yang mana Barisan Nasional (BN) telah tewas kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya 2008.

Beliau berkata, walaupun terdapat “ura-ura” angin perubahan sedang berlaku di negeri-negeri PR, persoalannya adalah adakah pengundi bersedia memilih BN ketika pilihan raya nanti.

“Kita perlu melipat gandakan usaha memberi penjelasan kepada rakyat bahawa pembangkang tidak berupaya untuk mentadbir negara dan negeri, berbeza dengan dakwaan mereka.

“Jika kita ingin menjatuhkan pembangkang di negeri-negeri ini, kita perlu bekerja keras,” tambah Najib, kerjasama dalam parti perlu untuk mereka memenangi pilihan raya.

BN mengalami kekalahan terburuk mereka apabila lima negeri jatuh kepada PR pada 2008, di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas mengambil alih kuasa pada 2009, Najib telah membuat pembaharuan termasuk meliberalkan akta drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah telah membentuk badan dwi-partisan untuk menambah baik sistem pilihan raya negara.

Bagaimanapun, kumpulan seperti Bersih masih berkeras tidak menerima pembaharuan yang dilaksanakan Najib dan mengadakan tunjuk perasaan bagi meluahkan ketidak puasan hati mereka minggu lepas, dan juga sebelumnya pada 9 Julai lalu.

Najib dijangka akan melaksanakan pilihan raya pada Jun tahun ini, selepas memberikan wang tunai secara  “one-off” kepada rakyat berpendapatan rendah di negara ini dan juga pengenalan dasar gaji minimum minggu lepas.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi