Bahasa

Putrajaya naikkan pangkat 2 komando polis yang terbunuh di Lahad Datu

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 02, 2013

Pasukan polis membawa keranda jenazah komando yang terkorban di Lahad Datu. —Gambar oleh Saw Siow Feng. Pasukan polis membawa keranda jenazah komando yang terkorban di Lahad Datu. —Gambar oleh Saw Siow Feng.

Najib berkata, langkah itu bagi membolehkan balu kedua-dua anggota yang terbunuh akibat tembakan mortar itu menerima pencen yang lebih tinggi.

"Saya sudah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid (Abu Bakar) selaku wakil Ketua Polis Negara ianya sebagai pertimbangan istimewa," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan jenazah anggota berkenaan di Lapangan Terbang Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.

Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, 29 akan dinaikkan pangkat sebagai Asistan Supretendan Polis (ASP) manakala Koperal Sabaruddin Daud, 46 akan dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.

"Pencen diterima balu lebih tinggi," katanya, dan menambah kerajaan juga sedang mempertimbangkan bantuan dan pemberian yang lain untuk kedua-dua keluarga mereka.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah berakhir dengan 14 terbunuh dan tiga cedera selepas pasukan keselamatan bertempur dengan penceroboh bersenjata semalam yang mendakwa mereka merupakan Tentera Kesultanan Sulu.

Dua belas anggota penceroboh Filipina dan dua komando Malaysia terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Tiga anggota polis Malaysia turut tercedera.

Komisioner Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik The Star Online hari ini berkata penceroboh Filipina itu memulakan tembakan terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Anak kepada pemimpin kumpulan tersebut Agbimuddin Kiram, bagaimanapun semalam berkata pihak berkuasa Malaysia memulakan tembakan.

Jumlah anggota penceroboh tersebut yang tercedera masih belum diketahui.

Portal The Philippine Daily Inquirer pula melaporkan jurucakap Kementerian Hubungan Luar Filipina Raul Hernandez hari ini berkata Duta Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim telah bertemu dengan pihak Setiausaha Kementerian Hubungan Luar Albert Del Rosario di Manila untuk memaklumkan perkara itu.

Hernandez dilaporkan berkata kerajaan Filipina masih lagi perlu mengesahkan kenyataan jurucakap penceroboh berkenaan bahawa 10 anggotanya terbunuh.

Dianggarkan 180 pemberontak Filipina termasuk 30 lelaki bersenjata menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.

 


The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi