Bahasa

Nasib adik PM menjadi tanda tanya jika Pakatan menang PRU13, menurut laporan ST

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Apa yang terjadi kepada Datuk Seri Nazir Razak sekiranya pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya 2013 akan mempengaruhi masa depan Malaysia Inc di bawah Pakatan Rakyat (PR), akhbar Straits Times Singapura melaporkan hari ini.

Ketua bank kedua terbesar Malaysia itu membantu CIMB menjadi antara bank paling berpengaruh di rantau ini sejak beberapa tahun ini, kerana ramai percaya hubungan adik beradik beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seperti ramai tokoh korporat yang berjaya mendapat keuntungan kerana hubungan rapat dengan pemerintah Barisan Nasional (BN) lima tahun selepas kemerdekaan.

Demikian menulis wartawan senior akhbar tersebut, Anita Gabriel, dalam analisisnya.

“Nazir mempunyai kredibiliti yang besar dalam sektor perbankan - di luar atau dalam negara. Perubahan secara paksa melibatkan beliau mungkin akan memberi petanda yang salah,” kata penganalisis bank yang tidak disebut namanya berkata kepada akhbar tersebut.

“Kemenangan pembangkang akan memberi kesan trauma kepada pasaran, dan ia juga akan menjadi traumatik kepada sektor korporat,” kata seorang lagi pegawai bank tertinggi yang tidak disebut namanya.

Nazir (gambar) memberitahu Bloomberg TV baru-baru ini bahawa “mempunyai jalan jelas” dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia.

“Jika ada perubahan, ia akan mengecewakan pelabur dan mereka akan mengkaji semula pelaburan mereka di Malaysia,” katanya kepada Susan Li dari Bloomberg di Hong Kong.

Gabriel berkata kedudukan korporat di negara ini, yang dikenali sebagai Malaysia Inc, akan melihat perubahan drastik secara besar-besaran sekiranya PR memenangi pilihan raya yang akan berlangsung beberapa minggu lagi dan beberapa elit akan mengubah pengkalannya jika terdapat perubahan politik.

Ahli perniagaan terkaya Malaysia — seperti pemilik Kuok Group Tan Sri Robert Kuok, pemilik syarikat telekomunikasi T. Ananda Krishnan, pemilik syarikat perjudian dan hartanah Tan Sri Lim Kok Thay, pemilik bank Hong Leong Tan Sri Quek Leng Chan dan pemilik YTL Tan Sri Francis Yeoh — perlahan-lahan mengeluarkan pelaburan mereka ke luar negara sejak 1969, apabila BN tewas teruk pertama kali di dalam Parlimen.

Beliau juga mengatakan ahli perniagaan juga melindungi aset mereka dalam negara, merujuk kepada Tan Sri Vincent Tan, orang ke-10 terkaya di Malaysia, yang memperoleh tanah pegangan bebas di negeri dikuasai PR, Pulau Pinang, melalui Berjaya Group, sebagai contoh.

“Apabila sistem berubah dan peraturan mula berubah, mereka yang banyak melabur perlu mula mengadaptasi dari perubahan tersebut,” menurut penganalisis politik Khoo Kay Peng dilaporkan berkata demikian.

CIMB juga dilihat membantu DAP, yang menganjurkan siri jelajah bertemu pelabur asing oleh ketua publisitinya Tony Pua dan menerangkan rancangan Pakatan untuk pelabur asing sekiranya mereka berkuasa, menurut Gabriel, bahawa bank tersebut dikritik oleh orang dalam mengenai langkah tersebut.

Akhbar tersebut berkata langkah CIMB itu sebagai bukti kepada professionalisme Nazir dan mengekalkan neutraliti dalam politik walaupun minggu lalu beliau memberi sokongan untuk abangnya kekal dalam kuasa.

Menurut pemerhati industri, Gabriel menulis rejim baru mungkin membuat undang-undang baru dalam perniagaan di ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara ini.

“Sudah pasti akan ada perubahan besar,” kata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli, dan berkata “terdapat perbezaan ketara dalam cara” BN dan PR menguruskan negara.

Beliau dilaporkan memberi komen mengenai pengstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam fokus menangani isu strategi seperti aktiviti ekonomi tanpa persaingan.

Tetapi Gabriel berkata implementasi polisi PR tidak akan berubah sekelip mata kerana pemerintah baru tidak mahu mengecewakan pelabur samada asing atau luar.

“Segalanya tidak berubah begitu sahaja hanya kerana kerajaan telah berubah,” kata seorang tokoh korporat yang tidak disebut namanya.

Gabriel berkata rekod empat negeri yang sedang diperintah PR — Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan — menunjukkan tidak ada perubahan mendadak sekiranya PR mengambil alih kuasa.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.