Bahasa

Nazir Razak: Wahid sesuai sokong kesinambungan transformasi ekonomi oleh PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar adalah pilihan yang sesuai untuk menyokong kesinambungan perdana menteri dalam agenda transformasi ekonomi negara, kata seorang tokoh bank terkemuka.

“Wahid adalah pilihan yang ideal. Kami ucapkan tahniah kepadanya. Adalah amat positif untuk melihat pemimpin dari golongan perbankan menganggotai kerajaan.

“Saya rasa beliau akan berkhidmat cemerlang di Unit Perancangan Ekonomi (EPU),” kata Datuk Seri Nazir Tun Razak, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif CIMB Group.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) yang mengumumkan barisan kabinetnya semalam, mengumumkan bahawa Abdul Wahid telah dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas EPU.

Abdul Wahid, yang telah mengetuai Maybank semenjak 1 Mei, 2008, akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada 5 Jun.

“(Bagaimanapun), Beliau meninggalkan bank itu ketika ia berada pada kedudukan kewangan paling kukuh di sebalik cabaran di pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam ke-10 di sini.

Minggu lepas, Maybank muncul bank Malaysia yang pertama untuk tersenarai dalam 20 bank terkukuh dunia berdasarkan penilaian kewangan oleh majalah “Bloomberg Markets”.

Bank itu disenaraikan pada kedudukan ke-13 dalam kumpulan global elit asset bank melebihi USUS$100 bilion berasaskan kekuatan modal, kualiti aset, rizab yang kukuh dan kekuatan deposit dan pembiayaan.

“Saya juga tahu bahawa Datuk Seri (Abdul) Wahid dan Datuk Seri Idris Jala mempunyai corak pemikiran yang serupa, dan gabungan mereka berdua adalah amat baik untuk Program Transformasi Ekonomi, terutamanya,” kata Nazir.

Selain Abdul Wahid, Idris telah dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan akan terus mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.— Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.