Bahasa

Negara bersedia capai pertumbuhan ekonomi lebih 5 peratus pada 2013, kata Ahmad Husni

November 24, 2012

IPOH, 24 Nov — Negara kini bersedia ke arah mencapai perkembangan ekonomi lebih lima peratus pada 2013 selepas mencatatkan pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun depan adalah pada kadar antara 4.5 dan 5.5 peratus walaupun memahami situasi ekonomi dunia semakin mencabar.

“Kita mahu menumpu kepada usaha untuk mencapai lebih daripada lima peratus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Deepavali Parlimen Tambun di Chemor di sini hari ini.

“Apabila kita lihat kepada ekonomi negara dari tahun ke tahun, kita perlu mencapainya kerana ekonomi negara kita menuju ke tahun 2020 di mana kita meletakkan sasaran mencapai sebuah negara berpendapatan tinggi dan rakyatnya menikmati kebahagiaan yang lebih  tinggi.”

Beliau berkata Malaysia sangat bertuah kerana dalam keadaan krisis ekonomi dunia, zon Euro yang mengalami kegawatan serta negara-negara lain yang mencapai pertumbuhan ekonomi yang rendah seperti Amerika Syarikat dan Singapura, negara mampu mengekalkan pertumbuhan yang baik.

Negara dijangka tidak mengalami masalah untuk mencapai lima peratus pertumbuhan bagi setahun penuh tahun ini, katanya.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata pencapaian ekonomi negara ini turut didorong oleh Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan kerajaan yang mensasarkan peningkatan pendapatan dan meninggikan kadar kebahagiaan.

“Model baru ekonomi Malaysia adalah berbeza dengan model yang ada di negara lain yang menekankan peningkatan pendapatan semata-mata,” katanya.

“Kita menekankan konsep eksklusif di mana setiap hasil negara perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, di bandar atau di luar bandar.”

Kerajaan berusaha meningkatkan kualiti hidup penduduk negara ini seperti dalam aspek kesihatan, pendidikan dan pengurangan kadar jenayah kerana ia adalah asas kebahagiaan kepada rakyat.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0, Ahmad Husni berkata kerajaan belum menetapkan tarikh tutup pendaftaran untuk mereka yang layak berbuat demikian, namun meminta supaya ia dibuat pada November dan Disember ini.

“Kita mahu mereka membuat pendaftaran dengan cepat pada November dan Disember. Ini kerana supaya pembayaran boleh dibuat lebih cepat iaitu mulai awal tahun depan,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi