Bahasa

Negara Islam PAS, Pakatan Rakyat, jadi ‘sasaran’ Muhyiddin

Oleh Mohd Farhan Darwis
November 27, 2012
Latest Update: November 28, 2012 03:39 pm

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) ketika ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri dilihat memberikan fokus “utama” kepada PAS, dan membayangkan Negara Islam yang cuba diwujudkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu tidak akan berjaya memandangkan PAS jelasnya hanyalah ibarat “melukut di tepi gantang.”

Timbalan Perdana Menteri itu turut membayangkan disebabkan perkara itu juga, konsep negara Islam PAS itu diubah kepada Negara Berkebajikan kerana parti Islam itu umpama “bermimpi di siang hari.”

“Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam.

“Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam.

“Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api,” kata Muhyiddin di hadapan perwakilan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga turut melihat DAP yang dilabelnya sebagai “cauvinis” dan PKR yang “rosak lagi merosakkan” akan menyokong penubuhan negara Islam PAS.

“Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam.

“Cukuplah ... cukuplah sepanjang 12 kali pilihan raya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13,” katanya merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dilihat sedang memperkukuhkan kedudukan mereka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang untuk memastikan mereka memperolehi dua pertiga majoriti Parlimen dan lima negeri yang tewas kepada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya 2008 serta memastikan lebih tiga juta ahli mereka bersedia menghadapi “ibu” kepada segala pilihan raya tersebut.

PAS sebelum ini juga dilihat menjadi sasaran BN dan Umno bagi merebut undi komuniti Melayu, yang merupakan undi utama buat mereka bagi memastikan kemenangan parti tersebut.

Muhyiddin turut menambah, PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama, dan cuba “melakonkan” seolah-olah ada kerjasama politik antara mereka.

“Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan BN.

“Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, kurangnya kerjasama antara parti komponen PR jelas dibuktikan dengan tindakan perwakilan ketika Muktamar PAS yang mehukan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dilantik menjadi perdana menteri ketujuh sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya walaupun PR telah sepakat memilih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itu jelasnya menunjukkan akar umbi PAS sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap Anwar.

“Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.

“Mereka tidak percaya kepada (Setiausaha Agung) DAP, Lim Guan Eng.

“Mereka tidak percaya kepada Penasihat DAP) Lim Kit Siang.

“Mereka juga tidak percaya kepada (Pengerusi DAP)  Karpal Singh.

“Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim,” katanya dihadapan 3,000 perwakilan di sini.

Beliau menjelaskan itu adalah satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.

Perhimpunan Agung Umno ke-56 esok dijangka akan menyaksikan perhimpunan pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi